
Melaka: Kota Melaka merupakan kawasan hitam untuk Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) apabila kerusi Parlimen itu dan lima Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawahnya tewas kepada Pakatan Harapan (PH).
Apa yang tidak dijangka adalah DUN Telok Mas yang merupakan kubu kuat UMNO juga terlepas ke tangan calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Noor Effandi Ahmad yang kini Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan negeri.
Justeru, penting untuk UMNO bahagian itu menebus semula kerusi berkenaan, tambahan pula kini pucuk pimpinan parti telah membuat keputusan tiada sebarang kerjasama dengan Bersatu pada pilihan raya akan datang.
Satu lagi DUN yang perlu diberi perhatian adalah kerusi tradisi MCA iaitu Duyong, yang sebelum ini calon BN, Lee Kiat Lee tewas sebanyak 2,895 undian kepada penyandang daripada DAP, Damian Baba Yeo.
Jika dibandingkan dengan tiga DUN lain dalam Kota Melaka iaitu Kesidang, Kota Laksamana dan Bandar Hilir, hanya Telok Mas dan Duyong dilihat mempunyai potensi besar dirampas BN.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Wanita UMNO Bahagian Kota Melaka, Haryaty Hamdzah berkata, sudah tiba masanya kerusi Duyong diberikan kepada parti itu untuk ditandingi memandangkan MCA telah dua kali tewas di situ.
Beliau berkata, tambahan pula komposisi kaum juga telah banyak menunjukkan perubahan, di mana statistik terbaharu menunjukkan Melayu kini adalah majoriti dengan jumlah sebanyak 61 peratus.
“Kita mengharapkan pada kali ini sasarkan dua DUN. Satu, Telok Mas kita usaha untuk misi tebus. Misi tebus kembali kemenangan sebab sebelum ini memang kita menang tapi PRU-14 kita kalah.
“Yang keduanya iaitu DUN Duyong yang sebelum ini memang biasanya diwakili oleh MCA. Tapi pada kali ini dapatlah diwakili oleh wakilnya calon Melayu. Sekarang Duyong telah mempunyai komposisi bangsa sebanyak 61 peratus Melayu, kerana itulah kita minta untuk dapatkan kerusi ini,” katanya.
Parlimen Kota Melaka dimenangi oleh Naib Pengerusi DAP Melaka, Khoo Poay Tiong dengan majoriti besar 49,175 undi. -UTUSAN











