PETALING JAYA: Malaysia sekali lagi menjadi mangsa ‘kambing hitam’ ekoran pergolakan antara Korea Utara dan Amerika Syarikat (AS) hingga menyebabkan hubungan diplomatik negara itu dengan Malaysia putus.
Bercakap kepada Mingguan Malaysia, geostrategis, Prof. Dr. Azmi Hassan berkata, ketegangan hubungan Korea Utara dan AS sudah tercetus sejak minggu lalu setelah negara ‘Uncle Sam’ itu melakukan latihan ketenteraan bersama Korea Selatan yang ditujukan khas kepada mereka.
Malah, katanya, Korea Utara kemudian menuduh Malaysia bersubahat dengan AS apabila bersetuju mengekstradisi seorang rakyatnya atas tuduhan jenayah.
“Kali pertama adalah pada 2017 apabila kita menjadi kambing hitam ekoran kes pembunuhan abang tiri pemimpin utama Korea Utara, Kim Jong-nam di KLIA2. Kejadian berlaku tatkala ketegangan antara Pyongyang dengan Washington, kebetulan pula insiden di Kuala Lumpur, akhirnya kita dituduh Korea Utara bersekongkol dengan AS.
“Namun sekali lagi mereka menggunakan dalil sama bagi menyalahkan Malaysia. Jika dibaca kenyataan Kementerian Luar Korea Utara, jika apa-apa berlaku antara negara itu dengan AS, mereka akan menyalahkan Malaysia kerana mengekstradisi rakyat Korea Utara. Sekali lagi kita dikambinghitamkan,” katanya.
Kementerian Luar Korea Utara kelmarin memutuskan hubungan diplomatik dengan Malaysia berkuat kuasa semalam ekoran keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang mengarahkan seorang rakyat negara itu, Mun Chol-myong diekstradisi ke AS atas tuduhan jenayah.
Selaras keputusan itu, Wisma Putra dalam kenyataan memaklumkan semua diplomat Kedutaan Korea Utara diarah meninggalkan negara ini dalam tempoh 48 jam.
Dalam pada itu, Azmi menambah, keputusan memutuskan hubungan diplomatik tidak memberi sebarang kesan kepada Malaysia, malah jalinan kerjasama rakan sekutu Korea Utara seperti China tidak terjejas.
Katanya, hal ini kerana semua negara termasuk China menyedari tindakan Korea Utara bukan marah kepada Malaysia sebaliknya ditujukan terhadap AS.
“Selain itu, saya rasa tidak perlu mencari jalan penyelesaian krisis hubungan Malaysia dan Korea Utara. Malah, tidak perlu Kuala Lumpur memulakan rundingan dan minta maaf serta menarik semula keputusan ekstradisi. Buat masa ini, kita hanya perlu berdiam diri menanti apakah tindakan selanjutnya,” ujarnya.
Sementara itu, pensyarah Fakulti Syariah dan Undang-Undang Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof. Madya Dr. Mohd. Hazmi Mohd. Rusli berkata, walaupun hubungan diplomatik terputus, situasi demikian tidak menggugat soal pertahanan dan kedaulatan tanah air termasuk ancaman serangan balas.
Katanya, Korea Utara perlu berfikir semasak-masaknya jika ingin mencetuskan serangan kerana Malaysia berjiran dekat dengan Singapura, Indonesia dan Brunei dan kedudukan negara ini di Laut China Selatan yang mempunyai kepentingan blok kuasa besar.
Beliau menambah, jika Korea Utara ingin mengancam dan melakukan serangan, negara kuasa besar seperti China dan AS dijangka memberikan pertolongan kepada Malaysia atas dasar hubungan baik diplomatik terjalin selama ini.
“Saya rasa tidak semudah itu Korea Utara untuk memberi ancaman kepada kita dan jika berlaku, ia akan diimbangi dengan kerjasama negara lain,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd. Hazmi menambah, keputusan ekstradisi rakyat Korea Utara dibuat mengikut lunas undang-undang sekali gus menunjukkan badan kehakiman Malaysia bebas daripada campur tangan pihak tertentu. – UTUSAN










