Lima kanak-kanak Rohingya jadi buruh paksa diselamatkan - Utusan Malaysia

Lima kanak-kanak Rohingya jadi buruh paksa diselamatkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lima kanak-kanak Rohingya yang dieksploitasi sebagai buruh paksa di sebuah kilang elektronik di Gombak diselamatkan pihak berkuasa kelmarin.

Operasi khas dilakukan Bahagian Pencegahan Antipemerdagangan Manusia dan Penyeludupan Migran (D3) Bukit Aman, Pasukan Petugas Majlis Anti Pemerdagangan Orang (MAPO) dan Jabatan Tenaga Kerja kira-kira pukul 2 petang dan menyerbu kilang tersebut.

Memberitahu Utusan Malaysia, Ketua Penolong Pengarah (D3), Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Fadil Marsus berkata, hasil serbuan itu, sebanyak 165 pekerja diperiksa yang mana 46 daripadanya adalah warga tempatan manakala 119 lagi merupakan warganegara Myanmar yang memilik kad Pesuruhjaya Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR).

Kata beliau, pemeriksaan lanjut mendapati, lima daripada pemegang kad UNHCR yang ditahan adalah remaja berusia 17 tahun.

“Berikutan itu, kita menahan pemilik kilang yang merupakan warga Jepun dan beberapa kakitangan lain bagi siasatan lanjut.

“Kelima-lima kanak-kanak Rohingya itu telah diselamatkan sebelum diserahkan kepada pusat perlindungan,” katanya di sini semalam.

Dalam pada itu Fadil memberitahu, kesemua kanak-kanak tersebut dipercayai digajikan mengikut bayaran hari namun pembayaran hanya dilakukan pada hujung bulan.

“Pemeriksaan ke dalam premis, pengurusan kilang bukan sahaja menggajikan kanak-kanak di bawah umur tetapi keadaan persekitaran juga dilihat tidak teratur dan selamat untuk mereka bekerja.

“Kesemua tangkapan dan mangsa dibawa ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak untuk siasatan lanjut dan proses dokumentasi dan kes disiasat mengikut Seksyen12 Akta ATIPSOM (Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran) 2007 dan Seksyen 14 Akta Atipsom 2007,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×