KUANTAN: Hujan lebat berterusan sejak Isnin lalu mengakibatkan 28 keluarga melibatkan 76 mangsa terjejas disebabkan kejadian banjir kilat di sini hari ini.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A. Rahman berkata, bencana tersebut melibatkan Kampung Pandan dan Kampung Sungai Pinang di sini.
Menurut beliau, semua mangsa dari Kampung Pandan dan Jalan Air Itam kini ditempatkan di Dewan Mat Kilau serta Dewan Serba Guna Kampung Pandan.
Tambahnya, semua mangsa banjir di Kampung Sungai Pinang pula dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara Sungai Pinang pada awal malam semalam.
“Pada pukul 7.30 malam semalam, kita menerima maklumat kawasan rendah dilimpahi air Sungai Kuantan dan sejumlah rumah penduduk dinaiki air.
“Sehubungan itu, operasi menyelamat dan memindahkan mangsa ke tempat selamat telah dilaksanakan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Sementara itu, Jabatan Meteorologi meramalkan tiga daerah di negeri ini iaitu Kuantan, Pekan dan Rompin akan terus mengalami hujan lebat sehingga esok.
Jabatan itu turut mengeluarkan amaran cuaca peringkat waspada bagi daerah Maran dekat sini serta Kemaman, Terengganu.
Selain itu, amaran cuaca waspada turut dikeluarlan di dua daerah di Johor iaitu Mersing dan Kota Tinggi. – UTUSAN










