PETALING JAYA: Korea Utara dijangka mengambil peluang daripada apa yang berlaku untuk melakukan propaganda memburukkan Malaysia yang dianggap sebagai proksi Amerika Syarikat (AS).
Sumber memberitahu Utusan Malaysia, jangkaan itu termasuk kemungkinan serangan siber atas laman-laman sesawang berkepentingan Malaysia memandangkan Korea Utara mahir dalam melakukan penggodaman.
“Dari segi ekonomi pula, Malaysia tidak mempunyai apa-apa hutang dengan Korea Utara selain rakyat kita juga tiada di negara tersebut, jadi tiada sebarang isu ancaman,” katanya.
Jumaat lalu, Korea Utara mengumumkan negara itu memutuskan hubungan diplomatik dengan Malaysia.
Dalam pada itu, tindakan untuk memutuskan hubungan diplomatik dimulakan Korea Utara, bukannya Malaysia malah pendirian Malaysia terhadap Korea Utara adalah konsisten sejak dari mula lagi, malah jauh lebih baik dibandingkan negara-negara lain.
Pensyarah Undang-Undang dan Perlembagaan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Madya. Dr. Khairil Azmin Mokhtar berkata, sebagai sebuah negara yang berdaulat serta kerajaan yang mengamalkan rule of law, sudah pasti orang yang dituduh bersalah mesti dibicarakan untuk diadili.
“Suspek jenayah tidak boleh dilepaskan bebas kerana ia akan memudaratkan keselamatan negara dan masyarakat.
“Keputusan yang dibuat kerajaan Malaysia adalah wajar kerana berdasarkan undang-undang negara serta perlembagaan, juga selari dengan undang-undang antarabangsa,’’ katanya.
Tambah Khairil Azmin, sebagai sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi dan doktrin pengasingan kuasa, pihak kerajaan atau eksekutif tidak campur tangan dalam keputusan yang dibuat oleh badan kehakiman.
“Adalah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk menghormati keputusan yang dibuat oleh mahkamah, serta akur dan patuh kepada arahan yang dibuat oleh hakim,” katanya.
Walaupun ia memberi kesan kepada hubungan perdagangan, nilai perdagangan antara kedua-dua negara pada 2016 adalah sebanyak RM18.9 juta namun jumlah itu tidaklah begitu besar jika dibandingkan dengan negara-negara lain.
Pakar ekonomi Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Abu Sofian Yaacob turut menasihati kerajaan supaya tidak membuat sebarang tindakan diplomatik sehinggalah keadaan menjadi tenang dan biar AS sendiri yang berurusan dengan Korea Utara.
Tambahnya, keputusan dan tindakan Korea Utara sebagai ‘tidak ramah’ serta tidak konstruktif dan menghormati hubungan baik sesama anggota masyarakat antarabangsa.
“Terpulang kepada Korea Utara sama ada untuk terus memutuskan hubungan diplomatik dengan Malaysia, atau ingin menjalin kembali hubungannya dengan Malaysia. Yang pasti tindakan ini tidak menguntungkan mana-mana pihak,” katanya. -UTUSAN










