SEOUL: Korea Utara bakal membuka sepenuhnya sempadan negara tersebut kepada pelancong luar negara bermula dari timur laut Samjiyon pada Disember ini dan diikuti seluruh negara, demikian menurut syarikat pelancongan pada Rabu.
Langkah itu dibuat sebagai petanda bahawa negara itu bersedia untuk membuka semula sempadan kepada kumpulan pelancong yang lebih besar selepas bertahun-tahun sempadan dikawal ketat akibat penyebaran virus Covid-19 ketika itu.
“Kami telah menerima pengesahan daripada rakan kongsi tempatan kami bahawa pelancongan ke Samjiyon dan kemungkinan seluruh negara akan disambung semula secara rasmi pada Disember 2024,” kata Koryo Tours yang berpangkalan di Beijing dalam laman webnya.
Penerbangan antarabangsa masuk dan keluar dari Korea Utara disambung semula pada tahun lalu di mana sekumpulan kecil pelancong Rusia telah melancong ke negara tersebut pada Februari manakala pegawai asing tertinggi termasuk Presiden Rusia Vladimir Putin telah melawat negara itu pada Jun lalu.
Tambah firma itu lagi, rakan kongsi tempatannya akan mengesahkan jadual perjalanan dan tarikh dalam beberapa minggu akan datang.
Korea Utara belum membuka sepenuh sempadan negara tersebut sejak tahun 2020 akibat penyebaran virus Covid-19 yang memaksa negara tersebut terpaksa menutup sempadannya.
Samjiyon merupakan sebuah bandar berhampiran sempadan China dan dibina berdasarkan model bandar pergunungan yang bertamadun tinggi di mana bandar tersebut dilengkapi dengan pangsapuri baharu, hotel, resort ski dan kemudahan komersial, kebudayaan dan perubatan.
Pada Julai lalu, Pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un telah memecat atau menurunkan pangkat beberapa pegawai kanan kerana dianggap tidak bertanggungjawab dalam mengendalikan projek pembangunan Samjiyon.-AGENSI










