Korea Utara serah 250 pelancar peluru berpandu ke sempadan - Utusan Malaysia

Korea Utara serah 250 pelancar peluru berpandu ke sempadan

PIX: KIM Jong-Un menyampaikan ucapan ketika melawat Unit Helikopter dalam misi menyelamat mangsa banjir di wilayah Utara Pyongan.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PYONGYANG: Pemimpin Korea Utara, Kim Jong-Un menyelia penyerahan 250 pelancar peluru berpandu balistik ke unit barisan hadapan di sepanjang sempadan selatan.

Kim menyifatkan senjata tersebut sebagai ‘pedang berharga yang berkuasa’ untuk mempertahankan kedaulatan, menurut laporan media kerajaan, hari ini.

Agensi Berita Pusat Korea (KCNA) melaporkan, majlis penyerahan 250 pelancar peluru berpandu balistik jenis baharu ke unit tentera sempadan, berlangsung di Pyongyang pada Ahad.

Jong-Un dalam ucapan menegaskan, pelancar peluru berpandu itu adalah senjata serangan taktikal terkini, yang direka sendiri olehnya.

Hubungan antara kedua-dua Korea berada pada titik terendah dalam beberapa tahun ini, di mana Utara meningkatkan ujian senjata dan membedil Selatan dengan belon yang dipenuhi sampah.

Sebagai tindak balas, Korea Selatan menyambung semula siaran propaganda di sepanjang sempadan, menangguhkan perjanjian ketenteraan yang mengurangkan ketegangan dan memulakan kembali latihan tembakan berhampiran sempadan.

Tahun ini, Pyongyang mengisytiharkan Korea Selatan sebagai musuh utama dan mengancam perang walaupun terdapat hanya sedikit pelanggaran.

Jong-Un berkata, pelancaran senjata baharu ketika negara dilanda kemusnahan akibat banjir, adalah manifestasi teguh kepemimpinannya untuk memperkukuh keupayaan pertahanan, lapor KCNA.

Laporan media Korea Selatan mendakwa, hujan lebat di Utara pada akhir Julai mengorbankan sehingga 1,500 orang.

Bagaimanapun, Kim menafikan laporkan itu dan menganggapnya sebagai kempen fitnah untuk mencemarkan imej Korea Utara.- AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN