Kes Iki Putra Mubarak telah dimaklumkan kepada polis - Utusan Malaysia

Kes Iki Putra Mubarak telah dimaklumkan kepada polis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM : Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) telah memaklumkan kepada Polis Selangor untuk membantu dalam menyiasat kes melibatkan Iki Putra Mubarak yang dituduh dengan kesalahan cubaan melakukan persetubuhan luar tabii di bawah Kanun Tatacara Jenayah.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof berkata, kerjasama dengan pihak polis itu tidak terhad untuk kes tersebut semata-mata, tetapi, turut merangkumi dalam kes jenayah lain bagi memastikan orang Islam serta bukan Islam yang melakukan kesalahan tidak terlepas daripada undang-undang syariah mahupun sivil.

“MAIS menghormati bahawa ada senarai jenayah di bawah Senarai Persekutuan, tetapi, ada juga yang berbentuk akidah, kesucian Islam dan sebagainya tidak ada dalam senarai tadi yang mana dilaksanakan di bawah Undang-Undang Syariah.

“Sebagai contoh, seperti kesalahan akidah, tidak mempercayai hukum Islam yang sebenar dan juga perkara-perkara yang berlainan daripada akidah umat Islam.

“Oleh demikian, kita telah mengarahkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) untuk memaklumkan secara rasmi kepada pihak polis mengenai apa saja kejadian jenayah yang berlaku di bawah Mahkamah Syariah,” katanya ketika ditemui dalam majlis Pelancaran Kempen Prihatin Buah Pinggang Kita Semua di sini hari ini.

Pada 25 Februari lalu, Mahkamah Persekutuan sebulat suara membenarkan cabaran undang-undang seorang lelaki, Iki Putra Mubarak terhadap Seksyen 28 EJSS Selangor 1995 dan sekaligus mengenepikan undang-undang Syariah Selangor yang menetapkan seks di luar tabii sebagai jenayah.

Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat yang mempengerusikan panel sembilan hakim berkata, kuasa utama untuk meluluskan undang-undang jenayah terletak pada Parlimen.

Beliau berkata, Seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 yang memperuntukkan seks luar tabii boleh dihukum adalah bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Sebelum ini, Iki Putra didakwa di Mahkamah Syariah pada 21 Ogos 2019 atas kesalahan meliwat yang dilakukannya di Bangi, Selangor.

Oleh kerana tidak berpuas hati dengan pertuduhan ini, Iki Putra telah mencabar peruntukan Seksyen 28 EJSS 1995 dengan mendakwa negeri atau mahkamah syariah tidak mempunyai bidang kuasa untuk menggubal dan membicarakan kes jenayah liwat.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed ketika dihubungi mengesahkan perkara tersebut dan memaklumkan pihaknya telah mengadakan perbincangan dengan MAIS serta masih dalam proses tindakan lanjut. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya