KUANTAN: Kegiatan perlombongan bauksit, bijih mineral yang mengandungi aluminium hidroksida terutamanya di Felda Bukit Goh, Balok dan Gebeng yang bermula sejak pertengahan 2014 memberikan pelbagai ‘kisah duka’ kepada penduduk sekitarnya.
Perlombongan tersebut antaranya telah menyebabkan kemusnahan alam sekitar sehingga air sungai dan laut bertukar menjadi merah selain menjejaskan kehidupan marin serta kerosakan infrastruktur dan kemudahan awam di sekitar kawasan terlibat.
Kesan lain, kawasan bekas perlombongan ditinggalkan begitu sahaja sehingga menjadi kolam terbiar dan ‘perangkap maut’ khususnya kepada kanak-kanak.
Itu hakikat yang berlaku di negeri ini kesan perlombongan bauksit sebelum kerajaan mengenakan moratorium ke atas semua aktiviti berkenaan bermula Januari 2016.
Difahamkan setelah empat tahun dihentikan, aktiviti perlombongan bahan mineral itu akan dimulakan kembali tetapi kali ini dengan diawasi prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.
Januari lalu, Menteri Besar, Datuk Wan Rosdy Wan Ismail mengesahkan perkara itu dan memaklumkan aktiviti tersebut boleh dimulakan pada bila-bila masa.
Menurut beliau, ketika ini, kerajaan negeri meminta operator yang berminat mengemukakan permohonan secara rasmi.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Felo Penyelidik Kanan, Pusat Kelestarian Ekosistem dan Sumber Alam (Pusat Alam) Universiti Malaysia Pahang (UMP), Prof. Madya Dr. Mohd. Fakhrurrazi Ishak berkata, susulan ekonomi dunia kian tenat, Malaysia tidak terlepas menerima kesan besar dan kehilangan berbilion ringgit akibat Covid-19.
Sehubungan itu, beliau berkata, adalah wajar aktiviti perlombongan yang dapat menjana pendapatan negara dan penduduk setempat diaktifkan semula.
Namun pada kali ini katanya, segala bentuk aktiviti perlombongan perlu meliputi keseluruhan proses kelestarian, bagi menjamin keselamatan dan keselesaan masyarakat.
“SOP direka bagi memberi manfaat kepada kerajaan melalui cukai selain menjana ekonomi masyarakat setempat melalui peluang pekerjaan.
“Bertentangan sebelum ini apabila aktiviti perlombongan secara haram merugikan negara, tiada cukai boleh dikutip beserta kerosakan pada infrastruktur di Kuantan, membahayakan kesihatan penduduk dan masalah sosial yang lebih besar,” katanya.
Mohd. Fakhrurrazi berkata, pihak berwajib perlu memastikan segala aktiviti mendapat kelulusan dan mematuhi undang-undang agar kerosakan yang tercipta dahulu tidak berulang.
Terbaharu, sebuah kerangka Pelan Transformasi Industri Mineral Negara 2021-2030 (TIM 2021-2030) dibangunkan sebagai agenda baharu pembangunan industri mineral di negara ini.
Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, perkara itu dicapai menerusi mesyuarat pertama Majlis Mineral Negara (MMN) yang diwujudkan semula pada 28 Ogos 2020 sebagai platform utama Kerajaan Persekutuan dan kerajaan-kerajaan negeri bagi membincangkan isu-isu dasar dan operasi berkaitan industri mineral dalam usaha mewujudkan perlombongan mampan.
TIM 2021-2030 itu bertujuan membangunkan industri mineral secara menyeluruh dan bersepadu melalui transformasi di setiap peringkat rantaian nilai iaitu sektor huluan, pertengahan dan hiliran sekali gus memberi pulangan jangka panjang sebagai antara penyumbang utama ekonomi negara.
MMN juga akan memantau pelaksanaan TIM 2021-2030 yang sedang diusahakan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli dan bersetuju dengan kerangka dokumen-dokumen SOP aktiviti Perlombongan dan Pengeksportan Bauksit dan Unsur Nadir Bumi Bukan Radioaktif (NR-REE) di Malaysia.- UTUSAN










