PUTRAJAYA: Pengamal perubatan swasta diberi kuasa membantu usaha menangani penularan wabak Covid-19, mulai hari ini berdasarkan Ordinan Darurat, Seksyen 10 (2) Akta 342, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988..
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, ordinan tersebut memberi kuasa kepada pengamal perubatan swasta mengendalikan kes positif di tempat masing-masing (klinik atau hospital swasta).
Katanya, setakat ini seramai 186 pengamal perubatan swasta akan terlibat secara langsung dengan kes berkaitan Covid-19.
“Mereka boleh mengesan, mengasing, memakaikan gelang dan memberi rawatan serta mengeluarkan arahan kuarantin di rumah atau Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC).
“Seramai 186 orang itu membabitkan Perlis (4), Kedah (1), Pulau Pinang (16), Perak (3), Selangor (66), Kuala Lumpur (43), Putrajaya (1), Negeri Sembilan (13), Melaka (4), Johor (26), Pahang (2), Terengganu (3), Kelantan (2) dan Sabah (2),” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar sempena majlis pelancaran buku The Covid-19 Chronicles Of Malaysia | Navigating The Storm di sini, semalam.
Adham berkata, beliau juga menyeru kepada mana-mana pengamal perubatan swasta yang berminat untuk membantu kerajaan bolehlah mendaftar dengan kementeriannya.
Beliau berkata, semua pengamal perubatan swasta itu akan diberi garis panduan oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) kawasan masing-masing.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, pihaknya berkeyakinan sebanyak 60 peratus dari 500,000 barisan hadapan akan berjaya divaksin, hujung minggu ini.
“Buat masa ini, 195, 923 individu sudah divaksin. Malah sehingga pukul 8 pagi tadi, seramai 4,680,531 orang sudah mendaftar untuk disenaraikan sebagai penerima vaksin,” katanya. – UTUSAN











