KUALA LUMPUR: Polis mengambil keterangan beberapa saksi berhubung dakwaan seorang Datuk mencabul isteri kepada rakan baiknya dalam kejadian di Taman Melawati dekat sini pada tahun lalu.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Esha berkata, pihaknya menjalankan siasatan terperinci mengenai dakwaan tersebut selain sedang mengumpul bukti.
Menurut beliau, antara individu yang diambil keterangan termasuklah beberapa saksi dan pasangan suami isteri tersebut.
“Selepas itu, kita akan panggil Datuk yang didakwa terlibat dalam kes ini. Siasatan lanjut sedang dijalankan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Kata Mohamad Farouk, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul.
Utusan Malaysia hari ini melaporkan seorang bekas ahli politik bergelar Datuk di negeri Pantai Timur terpaksa menerima rawatan di sebuah klinik di Terengganu selepas mendakwa menjadi mangsa belasahan rakan kongsi perniagaannya berkaitan isu mencabul dan hutang RM200,000.
Sumber berkata, rakan perniagaannya tiba di Kemaman untuk berbincang soal hutang namun perbincangan itu tidak mencapai kata sepakat sehingga berlaku pergaduhan.
Malah, sumber berkata, Datuk berusia 51 tahun itu turut dibelasah dan timbul dakwaan ahli politik berkenaan mencabul isteri ahli perniagaan tersebut pada Ogos tahun lalu.- UTUSAN