B40 hilang pendapatan terima one-off RM500 - Utusan Malaysia

B40 hilang pendapatan terima one-off RM500

MUHYIDDIN YASSIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Golongan B40 kehilangan pendapatan bakal menerima bantuan one-off RM500 YANG merupakan antara 20 inisiatif diumumkan kerajaan di bawah Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa).

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, bayaran tambahan sebanyak RM500 juga diberikan kepada penerima Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) melibatkan penerima berpendapatan RM1,000 dan ke bawah.

Kata beliau, kerajaan terus memelihara kebajikan rakyat terutama mereka yang masih terjejas dalam menghadapi cabaran pandemik ketika ini dan inisiatif kali ini lebih tertumpu kepada golongan rentan, kurang upaya serta mereka kehilangan pekerjaan.

“Kedua-dua kategori ini melibatkan penerima berusia 21 tahun hingga 60 tahun dan tidak melibatkan proses pendaftaran permohonan. Pengesahan kehilangan pendapatan dan semakan silang dibuat melalui sistem Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

“Insya-Allah, kedua-dua bantuan khas ini dibayar mulai Jun 2021 ke akaun penerima masing-masing,” katanya ketika mengumumkan Pemerkasa semalam.

Terdahulu, Perdana Menteri mengumumkan Pemerkasa bernilai RM20 bilion serta suntikan fizikal baharu berjumlah RM11 bilion yang mempunyai lima fokus utama serta menumpukan 20 inisiatif strategik dalam melonjakkan pertumbuhan ekonomi, menyokong peniagaan dan meneruskan bantuan kepada rakyat dan sektor terkesan.

Dalam pada itu, Muhyiddin memberitahu, di bawah inisiatif penerusan subsidi meringankan kos sara hidup, harga runcit petrol RON95 dan diesel ditetapkan pada paras harga siling RM2.05 seliter dan RM2.15 seliter dalam melindungi pengguna daripada kesan kenaikan harga minyak.

Katanya lagi, kerajaan juga menanggung subsidi yang tinggi ke atas produk gas cecair petroleum atau LPG dan harga sebenar di pasaran setong gas LPG bersaiz 14 kilogram (kg) pada masa ini adalah sekitar RM50.

“Namun, harga runcit telah ditetapkan pada paras RM26.60 setong. Oleh itu, kerajaan telah memberi subsidi hampir 50 peratus bagi setiap tong LPG 14kg yang digunakan oleh rakyat khususnya isi rumah,” katanya.

Perdana Menteri memaklumkan program PenjanaKerjaya2.0 bertujuan membantu golongan kehilangan pekerjaan akan ditambah baik dengan memperluas skop insentif pengambilan pekerja dan meliputi pekerjaan sementara dan sektor gig dengan menyediakan peruntukan RM300 juta yang memanfaatkan 60,000 serta setiap pekerja menerima RM600 sebulan selama tempoh maksimum enam bulan.

Katanya, bagi majikan yang menawarkan pekerjaan jangka pendek ataupun platform penyedia perkhidmatan gig yang berdaftar dengan Perkeso, mereka menerima RM200 bagi setiap pekerja yang ditempatkan.

“Kerajaan memperuntukkan RM700 juta bagi melanjutkan Program Subsidi Upah 3.0 selama tiga bulan lagi secara lebih bersasar. Ini terutama kepada sektor pelancongan, perdagangan borong dan runcit, serta perniagaan lain yang ditutup semasa Perintah seperti pusat sukan gimnasium dan spa,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, kerajaan mungkin tidak perlu lagi melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara menyeluruh merangkumi seluruh negara atau sesuatu negeri, sebaliknya kawalan pergerakan hanya dilaksanakan mengikut lokaliti dan secara tertumpu kepada kluster berkaitan sahaja.

Katanya, selaras dengan Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021, pematuhan SOP dan penguatkuasaan perundangan yang lebih ketat dan telus terus dilaksanakan bagi mengawal penularan wabak Covid-19. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya