7,700 pelajar UPM masuk semula kampus - Utusan Malaysia

7,700 pelajar UPM masuk semula kampus

KEMASUKAN pelajar UPM ke kolej kediaman Kampus Serdang secara berperingkat bagi semester kedua sesi 2020/2021.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seramai 7,700 orang terlibat dalam kemasukan semula penuntut Universiti Putra Malaysia (UPM) bagi mengikuti sesi pembelajaran dan pengajaran (PdP) secara hibrid bermula kelmarin.

Pusat Strategi Dan Perhubungan Korporat UPM dalam satu kenyataan memaklumkan, penuntut terlibat terdiri daripada 6,500 orang di Kampus Serdang dan 1,200 di Kampus Bintulu, Sarawak.

Menurut kenyataan itu, anggaran penuntut yang terlibat itu adalah sebanyak 27.5 peratus daripada jumlah keseluruhan pelajar universiti tersebut.

Katanya, penuntut yang dibenarkan mendaftar adalah kumpulan yang dibenarkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk meneruskan sesi PdP di kampus universiti.

“Mereka yang terlibat adalah penuntut peringkat sijil, diploma, ijazah sarjana muda dan pasca siswazah yang memerlukan tempat atau peralatan khas, pelajar yang tidak mempunyai akses talian internet yang baik, pelajar asasi atau setara dan diploma yang sedia ada di kampus.

“Pelajar antarabangsa kecuali dari United Kingdom, pelajar berkategori orang kurang upaya (OKU) dan pelajar yang menduduki peperiksaan Malaysia University English Test (MUET), peperiksaan antarabangsa dan badan professional juga terlibat,” kata kenyataan itu semalam.

Baru-baru ini, Utusan Malaysia melaporkan, kategori pelajar berkeperluan dibenarkan kembali ke kampus secara fizikal bagi mengikuti PdP secara hibrid iaitu secara fizikal dan secara dalam talian, bermula 1 Mac lalu.

KPT dalam kenyataan berkata, pihaknya mengambil langkah proaktif dengan melaksanakan sesi libat urus bersama Majlis Perwakilan Pelajar, pihak pengurusan Institusi Pendidikan Tinggi (IPT), Kementerian Kesihatan, pakar kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) berkenaan tarikh kemasukan pelajar ke kampus secara fizikal.

Kenyataan tersebut berkata, UPM mengikuti saranan yang ditetapkan KPT dengan mengambil langkah-langkah perlu bagi mengelakkan penularan pandemik Covid-19 dalam kampusnya.

Tambahnya, penuntut diwajibkan mengisi borang soal selidik permohonan memasuki kolej kediaman, membuat penilaian risiko jangkitan Covid-19 UPM pada hari kemasukan dan mengisi MySejahtera serta Health Declaration Form sewaktu mendaftar di kolej kediaman.

Katanya lagi, sekiranya didapati pelajar bergejala, mereka dirujuk ke Pusat Kesihatan Universiti (PKU) dan ditempatkan di blok/aras pengasingan yang disediakan di kolej berdasarkan arahan, saranan dan kebenaran daripada PKU.

“Pelajar yang berada dalam status self-quarantine di rumah adalah sama sekali tidak dibenarkan memasuki kampus,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya