KUBANG PASU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kedah merampas 592 helai pakaian sukan berjenama yang disyaki tiruan selepas menyerbu sebuah premis di kawasan perindustrian Bandar Darulaman, Jitra di sini, semalam.
Antara pakaian sukan yang dirampas itu termasuk jersi skuad Harimau Malaya dan kelab bola sepak luar negara.
Ketua Pegawai Penguatkuasanya, Mohd. Shahran Mohd. Arshad berkata, serbuan itu dilakukan oleh enam penguatkuasa KPDNHEP Cawangan Kubang Pasu di sini kira-kira pukul 11 pagi selepas pasukannya melakukan risikan kira-kira dua minggu lalu.
Katanya, pemeriksaan menemui sebanyak 510 helai baju jersi dan 82 helai seluar jenama seperti Adidas, Puma dan Nike yang disyaki tiruan.
“Kesemua pakaian sukan disyaki tiruan yang dianggarkan bernilai RM12,660 itu dirampas, selain menahan seorang lelaki berusia 29 tahun dipercayai pekerja di premis tersebut untuk siasatan lanjut,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Kata beliau, siasatan mendapati premis tersebut menjalankan perniagaan menjual pakaian termasuk jersi dan seluar berjenama terkenal yang dipercayai diperoleh dari negara jiran sejak setahun lalu.
“Pakaian sukan yang dipercayai gred A ini dijual pada harga antara RM10 hingga RM35 sehelai,” ujarnya.
Mohd. Shahran berkata, pihaknya sedang mengesan pemilik premis tersebut dan kes disiasat di bawah Akta Cap Dagangan 2019 atas kesalahan mempunyai dalam milikan, jagaan atau kawalan barang-barang yang cap dagangannya dipakai dengan salah untuk tujuan perdagangan.
“Kesalahan itu memperuntukkan hukuman denda sehingga RM10,000 bagi setiap barang yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya bagi individu.
“Bagi pertubuhan perbadanan pula, mereka boleh didenda sehingga RM15,000 bagi setiap barangan berkenaan, jika sabit kesalahan,” jelasnya.
Beliau pada masa menasihatkan peniaga supaya mematuhi etika dan peraturan mengikut undang-undang ditetapkan dengan tidak menjual pakaian yang menggunakan cap dagangan tiruan. – UTUSAN










