15,000 penduduk pedalaman Baling tiada air sejak 10 tahun -

15,000 penduduk pedalaman Baling tiada air sejak 10 tahun

MOHD. Nopiah Jarit (kanan) dan kakaknya, Remiah Jarit menimba air sungai untuk kegunaan keluarga selain menggunakan sumber air bukit berdekatan di Kampung Tanjung Pari, Baling. Selain itu, penduduk yang terjejas juga bergantung kepada air perigi. – UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALING: Dianggarkan 15,000 penduduk melibatkan kira-kira 20 kampung di pedalaman daerah ini tidak mendapat bekalan air bersih sejak 10 tahun lalu, sehinggakan terpaksa bergantung sepenuhnya kepada sumber seperti air bukit, sungai dan perigi untuk kegunaan harian.

Kehidupan penduduk di pe­dalaman itu masih jauh ketinggalan apabila masih lagi tidak mendapat bekalan air bersih yang sempurna.

Selain mendakwa berdepan masalah tekanan air yang rendah di beberapa tempat, penduduk juga mendakwa mereka tidak mampu membiayai kos pemasangan paip air yang tinggi.

Memuatkan artikel berkaitan…

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Bahagian Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) Baling, Syed Hairoul Faizey Syed Ali berkata, penduduk di situ tidak mendapat bekalan air dari saluran yang disediakan oleh Syarikat Air Darul Aman (SADA) apabila mendakwa tekanan air yang rendah.

Menurutnya, mereka men­dakwa masalah tekanan air yang rendah itu berlarutan sejak lebih 10 tahun lalu.

“Pihak kerajaan negeri juga sepatutnya tidak membiarkan masalah yang dihadapi penduduk di sini dibiarkan berlarutan sekian lama,” katanya.

Selain itu, Syed Hairoul Faizey memberitahu, sebahagian penduduk pula tidak mendapatkan bekalan air disebabkan tidak mampu membiayai kos memasang paip air.

“Penduduk mendakwa me­reka terpaksa mengeluarkan perbelanjaan antara RM1,000 hingga RM4,000 mengikut jarak rumah mereka dengan kedudukan paip utama,” katanya.

Seorang penduduk di Kampung Tanjung Pari, Mohd. Nopiah Jarit, 61, berkata, dia terpaksa menggunakan air yang disalurkan sejauh lima kilometer dari sebuah bukit berdekatan untuk kegunaan keluarganya.

Katanya, adakalanya terpaksa menggunakan air sungai sekiranya air bukit yang digelar ‘air masyarakat’ keruh dan tersumbat akibat hujan lebat.

“Saya akan guna air sungai sekiranya air bukit tidak dapat digunakan,” katanya.

Sementara penduduk dari Kampung Bukit Sebelah, Mohd. Hafiz Bakar, 30, pula berkata, dia terpaksa guna air sungai selepas bekalan air terputus disebabkan tekanan air rendah sejak enam tahun lalu.

“Kami menggunakan air su­ngai yang disedut menggunakan pam yang dibeli pada harga RM300, kemudian disimpan ke dalam tong untuk kegunaan membasuh dan mandi,” katanya.

Khalilah Khalid, 39, berkata, dia menggunakan air perigi kerana air bukit tidak bersih.

“Air bukit dikhuatiri tercemar bahan kimia seperti racun dan baja kimia yang digunakan oleh penoreh getah kerana di atas bukit itu ada tanah rancangan Felcra.

“Bila hujan air bertukar keruh, berkeladak dan musim kemarau pula air kotor membuatkan kami rasa tidak selamat untuk menggunakannya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini