10,000 majikan bergelut dapatkan pembantu rumah

10,000 majikan bergelut dapatkan pembantu rumah

ENGKU AHMAD FAUZI ENGKU MUHSEIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kesukaran membawa masuk pembantu rumah asing di negara ini ekoran penutupan pintu sempadan sejak setahun lalu menyebabkan lebih 10,000 majikan tempatan kini bergelut mendapatkan perkhidmatan mereka.

Presiden Persatuan Majikan Amah Malaysia (Mama), Engku Ahmad Fauzi Engku Muhsein berkata, situasi dijangka bertambah getir sekiranya kerajaan masih lagi tidak membenarkan kemasukan pekerja asing dan akan menimbulkan pelbagai masalah.

Katanya, pihaknya menerima banyak rungutan di dalam kalangan majikan yang berhadapan kesukaran untuk mendapatkan pembantu rumah asing bagi menguruskan rumah tangga khususnya pada waktu kerja.

“Apatah lagi hari ini banyak sektor ekonomi dan pekerjaan telah dibuka hingga menyebabkan pasangan suami isteri perlu bekerja di pejabat sedangkan mereka belum dapat lagi pembantu rumah.

“Dalam keadaan ini, siapa akan jaga anak-anak dan mengurus rumah tangga, ini menyebabkan terdapat majikan terutama wanita terpaksa berhenti kerja gara-gara kesukaran mendapatkan pembantu rumah,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Dalam pada itu, Engku Ahmad Fauzi berkata, meskipun terdapat majikan cuba mendapatkan sumber tenaga kerja tempatan, namun terdapat mereka tidak berminat bekerja dalam sektor berkenaan.

Beliau justeru itu berharap kerajaan untuk membenarkan kemasukan pembantu rumah asing di samping merumuskan mekanisme terbaharu berkenaan perkara itu dengan segera.

“Gesaan kami satu sahaja iaitu membenarkan proses kemasukan pembantu rumah asing dengan segera. Kerajaan diharap dengar keluhan kami ini,” katanya.

Pada masa sama, Presiden Pertubuhan Kebangsaan Sumber Manusia Malaysia (Pusma), Zarina Ismail berkata, hasil perbincangan seluruh majikan sebelum ini dan mereka sanggup membayar segala kos termasuk kuarantin yang bakal dikenakan.

Katanya, dijangka kos itu bertambah sebanyak RM3,900 di samping jumlah terkini iaitu mencecah RM18,000.

“Kami faham prosedur operasi standard (SOP) dan akan akur untuk ikutinya jika diminta berbuat demikian.

“Dengan kesanggupan ini, tidak timbul alasan mengapa kami belum bersedia membayar kos tinggi demi mendapatkan tenaga kerja pembantu rumah asing,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya