IPOH: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perak menahan reman tiga individu termasuk pasangan suami isteri bagi membantu siasatan berhubung dakwaan mengemukakan tuntutan rawatan kesihatan palsu berjumlah RM53,000.
Majistret A. Hafiizh Abu Bakar mengeluarkan perintah reman selama tujuh hari bermula semalam ke atas pasangan suami isteri berusia lingkungan 40-an yang merupakan pegawai eksekutif dan pemilik syarikat di Mahkamah Majistret Ipoh.
Tempoh reman selama lima hari turut dikenakan terhadap seorang lagi suspek lelaki yang juga pengarah syarikat berusia lingkungan 50-an.
Menurut sumber, ketiga-tiga suspek telah ditahan antara pukul 4.50 petang hingga 9.30 malam pada Selasa ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Perak.
“Siasatan awal mendapati kesemua suspek disyaki bersubahat melakukan perbuatan tersebut pada tahun 2024 hingga 2025.
“Ketiga-tiga suspek dipercayai telah mengemukakan dokumen yang mengandungi butir matan palsu kepada sebuah agensi kerajaan bagi menuntut perbelanjaan rawatan pemulihan fizikal bagaimanapun rawatan tersebut tidak dilakukan,” katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Perak, Azizul Ahmad Sarkawi ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan memberitahu, kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009. – UTUSAN










