PETALING JAYA: “Tempoh tiga bulan tidak dibenarkan beroperasi sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) pertama benar-benar menyakitkan.”
Itu luahan seorang tukang gunting rambut yang hanya mahu dikenali sebagai Ahmad, 41, apabila perniagaannya terjejas akibat pandemik Covid-19.
Malah katanya, dia terpaksa menggunakan wang simpanan bagi menampung bayaran komitmen perniagaan dan keluarga.
“Hal ini mengundang kemarahan isteri yang akhirnya berlarutan sehingga kami mengambil jalan untuk bercerai. Bahkan, pendapatan yang diterima selepas dibenarkan beroperasi semula Jun tahun lalu kurang 50 peratus berbanding sebelum penularan pandemik Covid-19,” katanya.
Utusan Malaysia semalam melaporkan, sebanyak 8,000 daripada 80,000 pemain industri perkhidmatan gunting rambut dan salun kecantikan berhadapan perceraian akibat penutupan operasi dalam tempoh jangka masa yang panjang.
Ahmad tidak menyangka berhadapan ujian berat itu termasuk terpaksa berpisah dengan isteri dan dua daripada tiga anaknya serta dalam masa sama kehilangan satu-satunya sumber pendapatan.
Dia yang memiliki dua buah perniagaan gunting rambut di Selangor berkata, masalah komunikasi dan ketidaksefahaman dalam menguruskan saki baki kewangan sejak penutupan operasi pada Mac tahun lalu menyebabkan mereka mengambil jalan untuk memutuskan hubungan sebagai suami isteri.
Tambahnya yang kini menjaga anak bongsunya berusia dua tahun, dia hanya meneruskan kelangsungan hidup menggunakan saki baki simpanannya di samping menjadi orang tengah dalam aktiviti pembelian mesin.
“Saya memperuntukkan antara RM5,000 hingga RM6,000 sebulan untuk membayar komitmen perniagaan termasuk kebajikan pekerja dan urusan rumah tangga,” luahnya.
Sementara itu, seorang lagi pengusaha yang dikenali sebagai Jack, 38, pula terpaksa berhadapan isu pergolakan rumah tangga apabila mengurangkan perbelanjaan keluarga termasuk memberhentikan pembelajaran prasekolah dua anaknya.
Dia yang memiliki kedai gunting rambut di Subang Jaya, Selangor memperuntukkan RM30,000 daripada wang simpanannya untuk membayar komitmen perniagaan termasuk pekerja dan keluarga.
“Hal ini menyebabkan emosi isteri terganggu sehingga berlaku pergaduhan. Mana tidaknya, anak yang sudah mula pergi prasekolah terpaksa diberhentikan kerana tidak mampu menanggung bayaran bulanan yang tinggi. Sebagai alternatif saya hantar mereka ke kelas tuisyen.
“Saya perlu menerangkan kepada isteri tentang masalah yang dihadapi. Sukar sebenarnya mahu menceritakan perkara ini tetapi saya tiada pilihan. Sejak PKP pertama, saya terpaksa menamatkan lima pekerja untuk memastikan kelangsungan hidup dan memastikan kedai tidak bankrap,” katanya yang berpengalaman 25 tahun dalam sektor pengguntingan rambut. – UTUSAN










