KANGAR: Perpecahan UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang boleh menyebabkan pertembungan tiga penjuru dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) hanya merugikan Melayu selain turut mengundang risiko kalah dalam pilihan raya.
Sehubungan itu, Pas mahu UMNO memperbaiki hubungan dengan Bersatu supaya ketiga-tiga parti berkenaan mempunyai kelebihan besar untuk mencapai kemenangan pada pilihan raya tersebut.
Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin berkata, perpecahan UMNO dan Bersatu tidak menguntungkan Perikatan Nasional (PN) atau Muafakat Nasional (MN), sebaliknya hanya menyebabkan pertembungan tiga penjuru yang boleh menyaksikan semua parti terbabit tewas.
Katanya, masih ada ruang yang panjang sebelum PRU-15 dan hubungan antara dua parti tersebut perlu diperbaiki kerana mereka mempunyai matlamat yang sama iaitu menentang Pakatan Harapan (PH).
“Kalau berlaku pertembungan tiga penjuru susah untuk kita mencapai kemenangan sedangkan kita mempunyai peluang cukup besar apabila bersatu. Jika hanya kerjasama Pas dan UMNO, kita yakin boleh menang namun apabila ditambah kekuatan satu lagi parti iaitu Bersatu kita akan menang lebih besar.
“Pas berperanan menyatupadukan dua parti tersebut. Kita tidak akan berhenti berusaha mengajak UMNO dan Bersatu untuk bersama. Usaha ini tidak berakhir dan berterusan sehingga PRU-15 dengan harapan perpaduan ini dapat dikekalkan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.
Beliau diminta mengulas kenyataan yang disiarkan Mingguan Malaysia kelmarin bahawa Majlis Tertinggi (MT) UMNO sepakat menolak kerjasama dengan Bersatu pada PRU-15.
Keputusan itu sekali gus menimbulkan tanda tanya sama ada UMNO mampu menang jika bertanding sendirian tanpa gabungan daripada parti Melayu lain seperti Bersatu pada pilihan raya tersebut.
Pas pula dikatakan meletakkan syarat supaya menerima Bersatu sekiranya UMNO ingin bergabung dengan parti Islam itu.
Kata Hashim, suasana semasa memerlukan parti-parti Melayu Islam bersatu dan tidak lagi berpecah belah seperti dahulu.
“Suasana sekarang berbeza berbanding dahulu yang tidak lagi mengizinkan orang Melayu Islam berpecah. Dahulu, ancaman terhadap Islam kurang kuat berbanding akhir-akhir ini.
“Kita (Pas, UMNO dan Bersatu) masing-masing mempunyai matlamat sama dan apabila Islam bersatu, ia bukan sahaja memberi keuntungan kepada Pas sebaliknya semua dapat hasil daripada penyatuan parti-parti Melayu Islam ini,” katanya.
Sementara itu, beliau sekali lagi menegaskan, Pas kekal dengan pendirian mengukuhkan kerjasama dengan UMNO melalui MN selain terus memperkasakan PN bersama Bersatu.
Katanya, pendirian Pas tidak pernah berubah demi penyatuan parti-parti Melayu Islam dalam menghadapi pilihan raya akan datang.
“Malah kita juga tidak ada masalah daripada soal pembahagian kerusi bersama UMNO dan Bersatu. Cuma yang rugi apabila berlaku pertembungan tiga penjuru dan perkara itu sepatutnya dielakkan.
“Apabila bersama kita kena ada sifat memberi dan menerima. Apa yang pasti kita tidak mahu bertanding banyak kerusi tetapi menang sikit dengan apa yang penting adalah kemenangan majoriti.
“Sebab itu Pas terus berusaha bersama UMNO dan Bersatu bagi memastikan gabungan ini mencapai kemenangan majoriti dalam pilihan raya akan datang,” katanya. – UTUSAN ONLINE









