SHAH ALAM: Peningkatan isu melibatkan gejala rasuah dan penyebaran berita palsu sekali lagi mendapat perhatian Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah apabila baginda mengulangi kebimbangan berhubung perkara tersebut.
Sultan Selangor dalam titahnya yang dimuat naik dalam Facebook rasmi Selangor Royal Office, menzahirkan rasa bimbang dengan peningkatan isu-isu membabitkan gejala rasuah, penyebaran berita palsu berunsur fitnah dalam kalangan rakyat, ahli politik dan penjawat awam.
Dalam titahnya, baginda berpandangan bahawa rasuah dan fitnah menjadi punca kepada perpecahan dalam situasi politik negara seterusnya mencemar reputasi urus tadbir negara di peringkat antarabangsa.
“Ini terbukti melalui kejatuhan signifikan dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Malaysia tahun lalu.
“Beta mengingatkan kepada orang Melayu khususnya bahawa rasuah dan fitnah adalah perbuatan yang dilarang serta berdosa di sisi agama Islam. Rasuah dan fitnah yang semakin berleluasa ketika ini adalah musuh utama yang menular dalam masyarakat dan dikhuatiri mampu menghancurkan negara,” titah baginda.
Baginda turut menzahirkan rasa terkejut berhubung pendedahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bahawa separuh daripada kes-kes rasuah yang berlaku di negara ini melibatkan penjawat awam.
Oleh demikian, baginda menyeru SPRM supaya terus menjalankan tugas dengan bersungguh-sungguh ke arah menghapuskan kegiatan rasuah.
“Beta berharap pelaku-pelaku rasuah ini dibanteras dengan segera berdasarkan bukti-bukti kukuh dan diadili di mahkamah dengan pantas serta telus supaya menjadi teladan kepada masyarakat.
“Beta juga menasihatkan setiap rakyat memainkan peranan untuk menghentikan perbuatan tidak bermoral ini yang boleh memusnahkan peradaban bangsa untuk tempoh yang panjang,” titah baginda.
Sultan Sharafuddin turut menegaskan, suasana kini diburukkan dengan penyebaran berita-berita palsu berunsur fitnah yang kian berleluasa di media-media sosial.
Baginda tidak mahu kepincangan dan perpecahan yang berlaku di arena politik merebak sehingga memecahbelahkan rakyat.
“Beta menyeru agar rakyat berbilang kaum terus bersatu padu dan bijak menepis anasir-anasir tidak baik khususnya rasuah dan fitnah demi kesejahteraan negara serta generasi akan datang.
“Beta percaya sekiranya rakyat bersatu, berkhidmat dan berbakti untuk negara yang disayangi ini serta melakukan kerja dengan bersungguh-sungguh, negara akan terus maju,” titah baginda.
Pada 24 Ogos tahun lalu, Sultan Sharafuddin menzahirkan rasa bimbang dengan peningkatan kes-kes gejala rasuah dan penyalahgunaan kuasa dalam kalangan segelintir pegawai dan kakitangan jabatan-jabatan penguatkuasaan kerajaan khususnya di negeri ini.
Dalam titahnya, baginda menyeru dan menasihatkan pegawai dan kakitangan penguat kuasa di semua majlis-majlis kerajaan tempatan, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan semua jabatan kerajaan lain yang dipertanggungjawabkan untuk menguatkuasakan undang-undang supaya tidak melibatkan atau mendekatkan diri dengan segala perbuatan rasuah. – UTUSAN ONLINE










