Sukar hapus 100 peratus, sumber ekonomi sekian lama - Utusan Malaysia

Sukar hapus 100 peratus, sumber ekonomi sekian lama

PASUKAN keselamatan berkawal di kawasan sempadan Padang Besar, Perlis.- UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Menghapuskan sepenuhnya aktiviti penyeludupan di sempadan negara tampak cukup sukar kerana kegiatan tersebut sudah menjadi sumber ekonomi dan pendapatan khususnya kepada penduduk setempat sejak sekian lama.

Malah, ada dalam kalangan penduduk termasuk golongan muda khususnya di kawasan sempadan seperti Padang Besar dan Wang Kelian menjadikan aktiviti tersebut sebagai pekerjaan utama berikutan hasilnya yang cukup lumayan sehingga mencecah ribuan atau ratusan ribu sebulan.

Mereka ini dilihat sanggup melakukan apa sahaja walaupun menyedari risiko ditangkap, malah, tidak kira berulang kali ditangkap terus melakukan aktiviti tersebut kerana itu menjadi mata pencarian mereka.

SURINA SAAD

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Polis negeri, Datuk Surina Saad berkata, isu penyeludupan sebenarnya sukar untuk diselesaikan sepenuhnya selagi ada permintaan dan penawaran.

Katanya, meskipun jumlah kes dan rampasan sentiasa meningkat namun aktiviti tersebut terus berlaku khususnya melibatkan penyeludupan daun ketum yang mendapat permintaan cukup tinggi di Thailand.

Tegasnya, selagi pokok ketum terus dibenarkan tanam di negara ini, masalah penyeludupan tersebut tidak akan selesai.

“Kena ada satu undang-undang konkrit mengenainya (pokok ketum). Selagi pokok ada dengan permintaan tinggi, penyeludup akan terus melakukan aktiviti ini. Kita tangkap, rampas banyak mana sekali pun, esok perkara sama akan berulang. Tidak pernah selesai.

“Aktiviti penyeludupan merupakan sumber ekonomi mereka (penyeludup) yang sudah berpuluh tahun lakukan aktiviti ini untuk jana pendapatan. Mereka sedar risiko, tetapi apabila itu menjadi sumber pendapatan, mereka akan terus melakukannya,” katanya.

Tambah Surina, semua agensi yang mengawal sempadan seperti Pasukan Gerakan Am (PGA), Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem), Kastam, Imigresen dan tentera mempunyai peranan masing-masing dalam mengekang aktiviti penyeludupan ini.

Katanya, selama ini tidak ada masalah bagi semua agensi tersebut bekerjasama dengan tujuan yang sama mengekang penyeludupan.

“Semua ada peranan masing-masing dalam mengekang aktiviti penyeludupan ini, cuma seperti saya cakap, mustahil untuk kita menyelesaikan isu penyeludupan itu sepenuhnya,” katanya.

Ditanya isu rasuah dalam kalangan anggota yang dikatakan menjadi antara punca masalah penyeludupan, Surina tidak menolak kemungkinan perkara itu memang berlaku.

Menurut beliau lagi, selain masalah sama sejak sekian lama iaitu pintu pagar sempadan yang cukup uzur, kemudahan pencahayaan perlu dilakukan di sesetengah kawasan sempadan ini.

“Perlu ditambah pencahayaan di kawasan sempadan ini kerana terlalu gelap dan menyukarkan mengekang penyeludupan khususnya pada waktu malam. Dari segi kelengkapan khususnya komunikasi, perkara itu sudah semakin baik,” katanya.

Seterusnya Surina menegaskan, jika pihak berkuasa Thailand turut sama meningkatkan kawalan di kawasan sempadan mereka, ia juga akan membantu mengekang masalah penyeludupan ini. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN