Saring sejarah kesihatan sebelum terima suntikan vaksin Covid-19 - Utusan Malaysia

Saring sejarah kesihatan sebelum terima suntikan vaksin Covid-19

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Saringan sejarah kesihatan akan dibuat terlebih dahulu sebelum melayakkan seseorang individu menerima suntikan vaksin Covid-19.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, lang­kah itu perlu bagi memas­tikan individu yang tidak se­suai tidak diberikan suntikan vaksin untuk mengelak risiko kesan sampi­ngan.

“Selepas seorang itu diberikan suntikan vaksin, kita akan membuat pemantauan terutamanya selepas sahaja disuntik untuk tempoh 15 hingga 30 minit di pusat pemberian vaksin sebelum dibenarkan pulang.

“Ini bagi memastikan tiada reaksi alahan yang agak serius sejurus menerima suntikan. Jika tiada, maka mereka dibenarkan pulang,” katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan Buku Panduan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan di Bangunan Perdana Putra, di sini semalam.

Muhyiddin berkata, seperti vaksin lain, vaksin Covid-19 juga mempunyai kesan sam­pingan yang agak ringan kepada pesakit seperti bengkak di tempat suntikan dan sebagainya yang akan pulih dengan sendiri.

Katanya, kerajaan sentiasa memantau perkembangan di negara-negara yang lebih awal menjalankan vaksinasi dan kesan sampingan daripadanya.

“Seperti di Indonesia, saya berjumpa Pre­sidennya, Joko Wi­dodo yang sudah menerima vaksin dan beliau nampak sihat,” katanya.

Muhyiddin berkata, bekalan vaksin Pfizer-BioNTech akan sampai di Malaysia pada Ahad ini, membolehkan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dilaksanakan mulai 26 Februari ini.

Katanya, beliau sendiri akan menerima suntikan vaksin pada hari tersebut bersama-sama petugas barisan hadapan.

“Program imunisasi menyeluruh ini adalah untuk memastikan imuniti kelompok dapat dibentuk dalam komuniti agar dapat memutuskan rantaian penularan jangkitan Covid-19 dan akhirnya dapat menamatkan pandemik,’’ katanya.

Katanya, Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan me­ngandungi tiga fasa iaitu fasa pertama akan melibatkan petugas barisan hadapan, bermula 26 Februari sehingga April ini.

Menurutnya, fasa kedua bermula April sehingga Ogos ini melibatkan kumpulan berisiko tinggi, manakala fasa ketiga melibatkan golongan berumur 18 tahun ke atas, bermula Mei 2021 sehingga Februari 2022.

“Apabila semua orang di­lindungi dan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan ini berjaya dilaksanakan, impak positif akan mula kita rasai.

“Pelbagai sektor ekonomi akan dibuka semula, seperti pelancongan. Kita boleh saling menziarahi, aktiviti bersukan juga boleh kita amalkan, tetapi dengan mengamalkan norma baharu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN