PRU-15: Kerjasama dengan Bersatu sukarkan UMNO - Utusan Malaysia

PRU-15: Kerjasama dengan Bersatu sukarkan UMNO

ARIF ANWAR LOKMANUL HAKIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: UMNO berada dalam keadaan sukar sekiranya terus bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Keistimewaan berpihak kepada Bersatu dalam membuat dasar-dasar kerajaan sehingga agihan kerusi pilihan raya yang dikatakan tidak adil menjadi titik nokhtah kerjasama antara kedua-dua parti.
Itu pandangan pemerhati politik bebas, Arif Anwar Lokmanul Hakim ketika ditanya keputusan UMNO enggan bekerjasama dengan Bersatu PRU-15.

Antara lain, menurutnya, tindakan Bersatu yang dilihat ‘mengikat’ Pas untuk terus mengikut arahan parti itu, me­nguatkan lagi asas tidak mahu bekerjasama sedangkan UMNO dan Pas berada dalam Muafakat Nasional (MN).

“Kaki dan tangan UMNO diikat (oleh Bersatu). Sudahlah diketepikan daripada menjadi sebahagian pembuat polisi, isu kerusi yang tidak memihak kepada UMNO sendiri malah isu menteri UMNO yang terikat dalam membuat keputusan seperti yang terjadi dalam Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Ini bukan bermaksud UMNO tidak mementingkan perpaduan negara dan agama Islam, tetapi tikam belakang adalah paling perit. Bagaimana UMNO dan Bersatu boleh duduk bersama jika agenda mereka tidak sama? Pilihan Raya Negeri (PRN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah menjadi bukti dan UMNO Sabah sendiri terlalu berlembut dengan Bersatu,” katanya kepada Utusan Malaysia, di sini semalam.

Kelmarin, Mingguan Malaysia melaporkan, Majlis Tertinggi UMNO sepakat menolak kerjasama dengan Bersatu.

Ketua Bersatu Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid menyifatkan keputusan UMNO meme­cahbelahkan orang Melayu pada pilihan raya umum akan datang.

Kata Arif Anwar, misi Bersatu adalah menggantikan UMNO menerajui kerajaan manakala UMNO berusaha ke arah itu.

“Saya juga menjangkakan Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan PN tidak dapat membentuk kerajaan majoriti serta hanya memperoleh antara 60 sehingga 80 kerusi dan akhir­nya kerajaan campuran pula terbentuk. Gabungan mana yang paling banyak kerusi, dia­lah yang dominan,” katanya.

KARTINI ABOO TALIB

Sementara itu, penganalisis politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Kartini Aboo Talib berkata, sudah tiba masanya UMNO mengete­ngahkan kepemimpinan baharu dalam kalangan orang muda.

Katanya, selepas PRU-15, BN tidak semestinya terikat de­ngan parti komponen MCA dan MIC sahaja tetapi perlu bersedia membuka ruang pembentukan gabungan baharu termasuk menerima Bersatu kembali atau parti lain untuk memastikan ia benar-benar mewakili rakyat.

“Perlu diingat, sekalipun UMNO tidak menjalin kerjasama lagi, Bersatu sudah ada kekuatan struktur parti itu. Bersatu sudah ada strategi membina jentera dan bersedia untuk pilihan raya. Mungkin juga strateginya kecil tetapi tidak mustahil impaknya besar,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN