Perkasa, Ibrahim kena bayar RM150,000 kepada Guan Eng - Utusan Malaysia

Perkasa, Ibrahim kena bayar RM150,000 kepada Guan Eng

LIM GUAN ENG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Persekutuan di sini semalam memutuskan bahawa penjawat awam boleh memulakan tindakan saman fitnah terhadap mana-mana pihak dan menuntut ganti rugi tidak kira sama ada atas kapasiti peribadi atau jawatan rasminya.

Keputusan majoriti 2-1 dibuat  panel tiga hakim diketuai Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Nallini Pathmanathan dan dibacakan oleh Hakim Datuk Harminder Singh Dhaliwal berhubung rayuan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dalam kes saman fitnah terhadap Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) dan bekas Presidennya, Datuk Ibrahim Ali.

Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Abdul Rahman Sebli menentang keputusan tersebut.

Menurut penghakiman majoriti, semua individu tidak kira atas apa jua kapasiti berhak mendapat pelindungan.

“Selagi mana kenyataan berbaur fitnah menunjukkan siapa individu dalam kerajaan dalam   `serangan’ mereka berbanding mengkritik tindakan atau polisi kerajaan, individu yang dikenal pasti itu mempunyai hak untuk memulakan tindakan atas selagi mana reputasi mereka terjejas.

“Tiada perkara yang boleh membezakan seorang penjawat awam yang difitnah atas tindakannya dalam kapasiti rasmi atau peribadi. Selagi mana kenyataan fitnah yang dibaca merujuk kepada seseorang berbanding badan kerajaan, individu terbabit berhak memfailkan saman,” kata Hakim Harminder.

Selain itu, berdasarkan pliding difailkan, adalah jelas tindakan saman dibuat Guan Eng adalah di atas kapasiti peribadinya dan bukan sebagai Ketua Menteri.

Sementara itu, menurut penghakiman menentang oleh Hakim Abdul Rahman, tiada sebarang kebenaran daripada Penasihat Undang-Undang Negeri dikemukakan oleh firma guaman yang mewakili Guan Eng dalam tindakan saman tersebut.

Sehubungan itu, peguam yang mewakili perayu di semua peringkat mahkamah bukanlah ejen yang dilantik bagi mengendalikan kes saman itu.

“Perayu gagal memenuhi keperluan Seksyen 24(2)(a) dan Seksyen 24(3) Akta Prosiding Kerajaan apabila melantik firma guaman swasta untuk mewakilinya berbanding diwakili pegawai undang-undang kerajaan sebagaimana yang dinyatakan oleh undang-undang. Hujah oleh peguam responden berhubung isu ini mempunyai merit.

Oleh kerana perayu tidak diwakili secara sewajarnya, ia menjadikan segala writ dan pernyataan tuntutan termasuk semua dokumen saman terbatal,”kata Hakim Abdul Rahman.

Selepas penghakiman dibacakan, Mahkamah Persekutuan mengembalikan keputusan yang dibuat Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan ganti rugi sebanyak RM150,000 yang perlu dibayar oleh Perkasa dan Ibrahim.

Mahkamah turut menetapkan kos sebanyak RM50,000.

Pada 11 Mei 2012, Guan Eng memfailkan saman fitnah terhadap tujuh defendan dengan mendakwa bahawa bekas Ketua Penerangan Perkasa, Allahyarham Ruslan Kassim menyiarkan kenyataan di laman sesawang Perkasa pada 1 Oktober 2011, yang meminta ahli perniagaan Datuk Mohamad Azman Yahya memberi penjelasan tentang pertemuannya dengan Datuk Seri Kalimullah Hassan dan seorang pemimpin kanan PAP di Singapura pada 12 Ogos 2011.

Pada 26 Mac, 2015, Mahkamah Tinggi mendapati The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP), bekas Pengarang Kumpulannya, Datuk Syed Nazri Syed Harun, Utusan Melayu (M) Berhad (UMMB) dan bekas Ketua Pengarang Kumpulannya, Datuk Abdul Aziz Ishak, PERKASA, Ibrahim dan Ruslan Kassim bertanggungjawab terhadap fitnah berkenaan.

Mahkamah Tinggi pada 2015, memerintahkan Perkasa membayar ganti rugi sebanyak RM150,000 manakala NSTP dan UMMB masing-masing diperintahkan membayar RM200,000.

Pada 5 Mac 2019, Guan Eng hanya meneruskan permohonannya di Mahkamah Persekutuan untuk mendapatkan kebenaran untuk merayu terhadap Perkasa, Ibrahim dan Ruslan setelah NSTP dan UMMB bersetuju untuk membayar ganti rugi masing-masing sebanyak RM200,000 yang diputuskan Mahkamah Tinggi kepada Guan Eng

Pada 22 September tahun lalu, Guan Eng menarik balik tindakan undang-undangnya terhadap Ruslan yang meninggal dunia.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya