Penyeludup makin 'tunjuk belang' - Utusan Malaysia

Penyeludup makin ‘tunjuk belang’

ANTARA rampasan rokok seludup oleh pasukan keselamatan Malaysia di Johor, baru-baru ini. - IHSAN POLIS JOHOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sindiket rokok seludup yang ‘mencuri cukai negara’ sehingga RM5 bilion setiap tahun dilihat semakin berani mencabar pihak berkuasa dan giat menjalankan aktiviti haram mereka walaupun Malaysia melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan penularan Covid-19.

Hal ini terbukti apabila masih ada aktiviti penyeludupan berlaku dan mereka tanpa rasa takut terhadap penguatkuasaan lebih ketat terus menjalankan kerja mereka seperti hari-hari biasa.

Sindiket penyeludupan rokok terbesar negara yang berpangkalan di Johor disyaki menggunakan persisiran pantai Rompin, Pahang untuk menjalankan aktiviti haram tersebut berikutan penguatkuasaan yang ketat di pintu-pintu masuk sempadan utama negara.

Mendedahkan kepada Utusan Malaysia, sumber keselamatan memaklumkan sindiket penyeludupan itu mempunyai organisasi yang kuat dan sentiasa menakutkan pihak berkuasa dengan pelbagai ugutan termasuk bunuh bagi memastikan kegiatan haram tersebut terus berleluasa.

Jelasnya, ramai pegawai yang amanah menerima ugutan namun tidak dinafikan ada juga segelintir penguat kuasa pelbagai agensi yang tidak berintegriti menerima sogokan secara berkala supaya aktiviti jenayah itu dapat beroperasi sehingga ke hari ini.

“Sindiket ini aktif menyeludup bekalan dari negara jiran seterusnya menggunakan laluan tikus untuk mendaratkan bekalan di pesisir pantai negara. Kegiatan mereka ini mengakibatkan kerajaan rugi lebih RM5 bilion setahun kerana rokok seludup secara terang-terangan ‘lepas’ daripada dikenakan cukai.

“Inilah dia perompak negara. Kalau sekotak rokok mereka untung RM3, berapa pula jumlah keuntungan dikaut selepas mereka berjaya seludup berjuta-juta kotak rokok? Sebab itu mereka sanggup lakukan apa saja supaya kegiatan ini berjalan lancar,” katanya di sini semalam.

Menurut sumber, sindiket yang telah berpuluh tahun menjalankan jenayah penyeludupan itu boleh dikatakan ‘besar kepala’ kerana semakin terang-terangan mencabar undang-undang negara ini.

Katanya, sebagai contoh dalam kejadian dua minggu lalu di Rompin, Pahang, sepasukan polis yang sedang menjalankan operasi mematahkan cubaan penyeludupan rokok dihalang oleh tonto yang dipercayai diupah sindiket.

“Polis pada awalnya menjalankan risikan sebelum terserempak dengan sebuah lori keluar dari lokasi yang dipantau. Mereka cuba mengejar lori dengan muatan rokok itu namun disekat dan diancam tiga buah kereta yang dipandu secara berbahaya.

“Dalam kejadian itu, tembakan amaran dilepaskan kerana tindakan tonto yang mengancam keselamatan polis. Selepas berlaku pergelutan, seorang daripada kumpulan tonto itu ditahan namun lori dipenuhi muatan rokok seludup lolos,” jelasnya.

Sumber memaklumkan selepas kejadian itu, suspek dihadapkan ke mahkamah dan didakwa atas dua kesalahan namun kemudian membuat laporan balas kepada pihak polis menyatakan dia dipukul.

“Dakwaan itu seakan-akan ‘mencabar’ pihak berkuasa dan secara tidak langsung melemparkan tohmahan yang melemahkan semangat mereka dalam usaha membanteras kegiatan haram ini.

“Sindiket ini cuba memberi tekanan kepada pihak berkuasa pula sedangkan mereka yang menjarah hasil negara sekali gus membantutkan perkembangan ekonomi dan bantuan rakyat di negara ini. Perkara ini tidak boleh dibiarkan dan sokongan jitu perlu diberikan kepada pihak berkuasa supaya kegiatan ini dapat dibendung,” jelas sumber. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN