Penghuni dan pekerja rumah perlindungan positif Covid-19 - Utusan Malaysia

Penghuni dan pekerja rumah perlindungan positif Covid-19

UJIAN calitan yang dijalankan terhadap penghuni rumah perlindungan Baitus Solehah, Skudai di Johor Bahru, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Sekurang-kurangnya 67 individu melibatkan pekerja dan penghuni rumah perlindungan Baitus Solehah, Skudai di sini didapati positif Covid-19 selepas ujian calitan dilakukan.

Pengurusnya, Muna Liza Ismail memberitahu, antara yang positif ialah 22 bayi berusia antara 10 bulan hingga setahun dan 37 penghuni yang merupakan golongan ibu.

Katanya, perkhabaran itu turut menyaksikan dirinya dan beberapa pekerja disahkan positif hari ini.

“Setakat semalam, seramai 61 orang disahkan positif Covid-19 melalui ujian saringan yang dibuat secara berperingkat, ini termasuk 22 bayi dan 37 golongan ibu.

“Sementara itu hari ini, saya dimaklumkan saya dan suami serta beberapa lagi pekerja iaitu pemandu, tukang masak dan warden juga disahkan positif Covid-19,” katanya di sini hari ini.

Rumah Baitus Solehah beroperasi sejak lapan tahun lalu dan memberi perlindungan kepada gadis yang memerlukan dari seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

Difahamkan, golongan ibu yang ditempatkan di rumah perlindungan itu berusia antara 15 tahun hingga 32 tahun.

Muna Liza berkata, semua yang didapati positif dibawa ke hospital untuk menjalani rawatan di Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom, Kluang dan Hospital Permai, di sini.

Tambah beliau, setakat ini punca jangkitan masih dalam siasatan pihak berkuasa.

“Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, penghuni kami melakukan kuarantin kendiri di kediaman masing-masin yang mana mereka hanya keluar untuk mendapatkan rawatan di klinik dan hospital,” ujarnya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Johor, Datuk Dr. Aman Rabu yang dihubungi memaklumkan akan mengeluarkan kenyataan berhubung perkara itu kemudian. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN