SEREMBAN: Malaysia mesti mempunyai kaedah yang lebih telus dan berwibawa dalam hal pelantikan seorang Peguam Negara.
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, selepas terbitnya pendedahan bekas Peguam Negara, Tommy Thomas menerusi buku berjudul ‘My Story: Justice in the Wilderness’, ia memaparkan betapa berkuasanya seorang Peguam Negara dan institusi tersebut.
Beliau berkata, perincian segala peristiwa yang dinyatakan dalam buku tersebut memaparkan betapa meluasnya pengaruh Peguam Negara dan jabatannya dalam pentadbiran undang-undang negara.
Sehubungan itu, katanya, keadaan tersebut adalah mewajarkan kerajaan memikirkan semula dua reformasi penting termasuk dalam hal pelantikan seorang Peguam Negara.
“Pelantikan Peguam Negara sebagai prerogatif mutlak seorang Perdana Menteri wajar dinilai semula. Lebih merisaukan apabila pencalonan datang dari individu tertentu yang berkepentingan dan melalui perbualan dengan Perdana Menteri seperti yang ditulis oleh Tun Mahathir (bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad) sendiri.
“Malaysia mesti mempunyai tatacara pelantikan yang menepati segala ciri ketelusan dan kompetensi bagi jawatan berkepentingan awam dengan kuasa luar biasa seperti Peguam Negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Mohamad, reformasi kedua adalah berkaitan pemisahan antara jawatan Peguam Negara dengan Pendakwa Raya.
“Kuasa yang memusatkan segalanya kepada seorang individu mesti dihadkan. Mungkin wajar untuk kerajaan mempertimbang pemisahan peranan tersebut dengan melantik Peguam Negara dan Pendakwa Raya bagi menjalankan fungsi yang berbeza.
“Walaupun saya realistik bahawa meminda perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan memerlukan sokongan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat dan adalah sukar, namun persediaan ke arah matlamat tersebut mesti dilakukan demi pelaksanaan dan pentadbiran undang-undang yang dihormati serta berwibawa,” katanya.
Dalam pada itu, Mohamad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau berkata, Tommy harus bertanggungjawab dalam setiap yang dituliskan di dalam buku tersebut.
“Saya tidak ingin mengulas tentang isu, peristiwa dan pengkisahan beliau. Itu memoir beliau dan pandangan beliau tidak semestinya benar, sahih dan berwibawa, yang pasti beliau harus bertanggungjawab dengan apa yang beliau tuliskan,” katanya lagi. – UTUSAN ONLINE










