Nasib baik tak bersalin dalam kereta - Utusan Malaysia

Nasib baik tak bersalin dalam kereta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DEK kekurangan job gara-gara Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), maka kami pemandu e-hailing masing-masing berkongsi pengalaman sepanjang bekerja dalam bidang ini.

Salah seorang teman, Daud Hasher tak dapat melupakan kejadian sebelum PKP apabila membawa seorang wanita yang sakit bersalin ke Hospital Ampang.

Cerita Daud yang gemar memandu Grab waktu malam, dia mendapat pesanan Grab sekitar pukul 11 malam di perumahan flat dalam kawasan Cheras. Drop off yang tertera menuju ke Hospital Ampang di Pandan Mewah.

“Faham-faham sajalah kawasan flat. Laluan agak sempit sebab penduduk letak kereta kiri kanan. Muat-muat satu kereta. Saya dah terlepas pick up point sebab keadaan memang gelap.
“Mujurlah suami perempuan ini nampak kereta saya dan berlari mengejar.

“Bila mereka sampai di kereta, saya nampak perempuan sarat mengandung dan mukanya menahan sakit. Saya suruh masuk ke kereta dulu sambil tolong angkat beg dan termos. Barang persediaan nak sambut bayi,” kata Daud.

Di dalam kereta Daud sempat bertanya kepada si suami. Lelaki tersebut memberitahu kandungan tersebut adalah bayi sulung mereka.

“Jangkaan lahir seminggu lagi. Tapi malam itu dah rasa sakit. Kereta dia pula kena halang kereta lain. Jadi, dia terpaksa pesan Grab. Mujur kebetulan saya ada di kawasan sana.
“Dalam kereta, si suami menenangkan isteri yang sakit. Tiba-tiba saya dengar, “abang, air dah keluar,’.

“Aghh sudah….rupanya air ketuban dah pecah.  Si suami suruh saya pecut tapi nak laju pun bukan mudah. Lampu isyarat banyak!

“Saya cakap pada dia, tak apa. Biarkan saja. Sambil itu saya berdoa agar semuanya mudah. Saya pula yang rasa cemas sekali.

“Apa pun Allah bagi laluan mudah. Sampai saja di bahagian kecemasan, pihak hospital bawa kerusi roda dan terus masuk ke dalam…lega betul,” cerita Daud.

Cuma selepas kejadian itu, Daud terus pulang ke rumah. Tiada mood lagi nak sambung Grab.

“Sebab apa? Sebab kereta saya bau lain macam. Malam itu juga saya basuh kereta. Mujur tempat duduk jenis kulit, tak serap.

“Esoknya saya tak Grab satu hari. Nak hilang bau!” kata Daud ketawa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN