KEPUTUSAN majoriti 6-1 mensabitkan portal berita Malaysiakini sebagai bersalah kerana menghina mahkamah menerusi komen yang dibuat pembacanya mencetuskan kebimbangan dalam kalangan segelintir pengamal media.
Keputusan itu menghantar isyarat jelas bahawa setiap media perlu bertanggungjawab ke atas kandungan dalam semua platformnya sama ada bercetak, di laman web malah di media sosial, termasuk ulasan yang diberikan oleh pembaca.
Selama ini majoriti beranggapan pembaca yang perlu bertanggungjawab terhadap komen mereka. Bukannya pemilik penerbitan.
Sebab itu, kononnya bagi tujuan mempertahankan diri, telah diletakkan pernyataan atau amaran bahawa komen atau ulasan yang diberikan adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak ada kena mengena dengan mana-mana pihak yang memiliki penerbitan tersebut. Pembaca yang bertanggungjawab sepenuhnya terhadap ulasan mereka.
Rupa-rupanya realiti tidak begitu. Keputusan Mahkamah Rayuan semalam memberikan satu pengajaran yang berguna kepada pengamal-pengamal media bahawa apabila menyiarkan sesuatu berita terutama berkaitan kes mahkamah, maka mereka akan dipertanggungjawabkan ke atas laporan tersebut hingga ke liang lahad. Kebertanggungjawaban itu termasuklah terhadap komen-komen nakal dalam media sosial.
Bagi pengamal media dalam dunia digital sekarang, keputusan mahkamah ini meletakkan mereka di persimpangan dilema. Sama ada mahu membenarkan komen pembaca atau menyekatnya.
Jika komen itu dibenarkan, maka risikonya sangat tinggi termasuk diheret di mahkamah didenda ratusan ribu malah mungkin jutaan ringgit hingga boleh menyebabkan organisasi media itu muflis.
Andainya tidak dibenarkan ia seperti menyekat hak pembaca atau hak rakyat untuk menyuarakan pandangan mereka terhadap sesuatu isu.
Ada yang memandang remeh ruangan komen ini. Tetapi sebenarnya ia merupakan satu bentuk komunikasi antara rakyat bawahan dengan kerajaan atau pihak-pihak lain.
Ada juga cadangan supaya pengendali media ini menapis dahulu setiap komen di platform digital mereka sebelum disiarkan. Cadangan ini kelihatan logik kalau hanya ada puluhan atau ratusan komen.
Jutaan pengikut
Hakikatnya ialah setiap organisasi media sama ada yang menggelar diri mereka sebagai arus perdana atau portal-portal berita yang popular, mempunyai jutaan pengikut di media sosial.
Platform digital Utusan Malaysia misalnya mempunyai pelawat unik hampir lima juta selain memiliki 2.2 juta pengikut di Facebook, 600,000 lagi di Twitter dan lebih 200,000 di Instagram.
Keseluruhannya pengikut Utusan Malaysia di platform digital sahaja sekitar 10 juta orang. Andai kata hanya satu peratus daripada keseluruhan pengikut ini menurunkan komen pada mana-mana platform milik Utusan sehari, jumlahnya sudah 100,000. Itu kalau satu peratus. Kalau dua peratus atau lima peratus? Berapa pula jumlahnya? Siapa yang mampu menapis komen yang berjumlah ratusan ribu ini setiap hari?
Tapi itu bukan alasan untuk pengamal-pengamal media ini melanggar undang-undang atau membenarkan ruangan komen di platform digital mereka menjadi medan menyebar fitnah.
Malah pembaca yang menurunkan komen-komen tersebut juga majoritinya bukan untuk menyebar fitnah atau memudaratkan mana-mana pihak.
Demokrasi
Mereka berbuat demikian kerana berpegang kepada prinsip kebebasan bersuara yang termaktub dalam perlembagaan. Orang ramai menjadikan ruang-ruang komen sebagai medium untuk mereka menyuarakan pandangan terhadap isu-isu berbangkit terutama yang berkaitan kehidupan harian mereka. Ini sudah tentu selari dengan prinsip demokrasi.
Demokrasi juga bermakna media berperanan besar sebagai pemudah cara antara rakyat dan kerajaan. Pada pengamal media, komen-komen yang ditinggal oleh pembaca pada setiap tulisan atau laporan merupakan salah satu cara berinteraksi dengan kerajaan dalam sebuah sistem demokrasi. Ia merupakan simbolik gandingan antara rakyat dan kerajaan dengan media menjadi perantaranya.
Sudah tentu salah satu peranan utama media adalah mengurangkan jurang antara pemerintah dan rakyat.
Dalam sistem demokrasi yang menjadi amalan kita, pemerintah itu dikendalikan oleh wakil rakyat yang dipilih oleh pengundi untuk mewakili mereka.
Sebab itu, rakyat merasakan wajar untuk meninggalkan sedikit ulasan atau sumbang saran pada berita-berita yang mereka baca sebagai satu bentuk komunikasi dengan pihak kerajaan.
Seperti yang dikatakan oleh Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan: “Persuratkhabaran bukan sekadar menyebarkan berita dan maklumat sahaja. Tetapi yang jauh lebih penting, ia menyediakan ruang untuk sumbangsaran, kritikan dan semak imbang dalam setiap hal bermasyarakat dan bernegara.
“Ia instrumen penting membantu menyuarakan nurani masyarakat, terutama mereka yang tertindas dan tertinggal atau mereka yang sekadar ingin memberikan pandangan alternatif atau idea baharu.”
Kebebasan media
Walaupun kebebasan bersuara merupakan prinsip pokok dalam demokrasi, namun di satu pihak lagi, kita ada undang-undang dan institusi mahkamah. Apa sahaja pelanggaran yang membabit dua elemen itu sudah tentu tidak akan dijamin di bawah kebebasan bersuara.
Sebab itu, di sebalik kebebasan media dan kebebasan bersuara, media massa di negara ini sentiasa mengambil pendekatan bertanggungjawab dalam penyiaran berita. Ada yang boleh disiarkan dan ada tidak boleh walaupun kadang-kadang meninggalkan kesan negatif kepada media terbabit.
Dalam keadaan berhati-hati itu ada juga yang terlepas terutama di platform digital disebabkan komunikasi antara pengguna berlaku sangat pantas. Sukar untuk dikawal apa yang mereka perkata atau perbincangkan.
Apa yang berlaku kepada Malaysiakini tentunya memberi iktibar kepada organisasi media lain. Ketika mereka mahu mengangkat kebebasan media dan kebebasan bersuara, kedaulatan undang-undang juga perlu terus dijunjung dan institusi mahkamah perlu terus dihormati.
Ibarat ditelan mati emak dan diluah mati bapa, komen-komen yang ditinggalkan pembaca pada laporan-laporan berita mahkamah kini menjadi mimpi ngeri kepada pengarang-pengarang organisasi media. Seolah-olah mereka terperangkap antara kebebasan bersuara dan kedaulatan undang-undang.
Hingga ada yang memberikan cadangan ekstrem – berhenti laporkan kes-kes mahkamah – bagi mengelakkan pemilik media dihukum kerana komen jelik pembaca. – Mingguan Malaysia










