KUANTAN: Operasi mengekang penularan pandemik Covid-19 bukan sahaja hanya tertumpu di daratan malah melibatkan kawasan luas perairan negara yang dikawal 24 jam oleh pasukan frontliner laut.
Antara pasukan frontliner laut yang memainkan peranan penting itu adalah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).
Pengarah Maritim negeri, Laksamana Pertama Maritim Datuk Amran Daud berkata, Maritim Malaysia Pahang terus memperketat rondaan laut menerusi pemantauan di sekitar sektor operasi menerusi Op Makmur dan Op Khas Kuda Laut.
Operasi itu, katanya, tertumpu di kawasan tanggungjawab perairan negeri ini bagi membendung jenayah rentas sempadan khususnya yang membabitkan kemasukan bot nelayan asing Vietnam ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Tujuan utama membendung kemasukan bot nelayan asing ini adalah bagi mengelak risiko penularan wabak koronavirus atau Covid-19,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Amran berkata, operasi rondaan dilakukan 24 jam berterusan sama ada melibatkan kapal dan bot milik pasukan keselamatan berkenaan.
“Anggota yang terlibat bergantung kepada saiz kapal. Bagi negeri ini yang mempunyai saiz kapal yang besar memerlukan keanggotaan seramai 50 orang dan enam orang untuk operasi aset bot,” katanya.
Berhubung tangkapan pula, beliau berkata, tangkapan bot nelayan asing bagi aset kapal negeri ini pada tahun ini sebanyak dua buah dan 20 buah tahun lalu.
“Bila ditahan, orang kena tahan perlu dilakukan ujian calitan oleh Kementerian Kesihatan terlebih dulu sebelum dihantar ke pusat tahanan,” jelasnya.
Beliau berkata, Maritim Malaysia sentiasa bersiap sedia menghadapi sebarang ancaman sama ada daripada segi kekuatan anggota dan aset di laut dari diceroboh oleh nelayan asing.
“Maritim Negeri Pahang terus mempergiat tugas pemantauan, rondaan dan penguatkuasaan di laut dari semasa ke semasa bagi memastikan sebarang kesalahan dan perlanggaran undang-undang dapat dibanteras agar perairan Pahang sentiasa selamat, aman dan terkawal,” tegasnya. – UTUSAN ONLINE










