ISKANDAR PUTERI: Pemeriksaan ketat dijalankan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) menggagalkan cubaan menyeludup keluar pelbagai produk laut bernilai RM92,760 di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), di sini semalam.
Pengarah Maqis negeri, Nur Afifah A. Rahman berkata, pihaknya mengesan cubaan menyeludup produk berkenaan ke Singapura semasa pemeriksaan dibuat terhadap sebuah lori di laluan eksport pada pukul 11 malam.
“Ketika pegawai menjalankan pemeriksaan, mereka mendapati beberapa barangan seperti ikan, sotong, udang dan lain-lain yang tidak mempunyai permit eksport sah.
“Kesemua barangan dianggarkan bernilai RM92,760 itu dirampas untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Menurut Nur Afifah, pemandu lori berusia 45 tahun diambil keterangan sebelum dibebaskan.
Menurutnya, perbuatan mengeksport apa-apa jenis keluaran pertanian tanpa permit eksport sah Maqis adalah kesalahan di bawah Seksyen 11(2) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 11(3) akta sama.
Jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali.
“Maqis komited menjalankan penguatkuasaan undang-undang dan terus diperkasakan di semua pintu masuk negara.
“Langkah ini bagi memastikan kawalan penyakit ikan, haiwan, tumbuhan dan jaminan keselamatan makanan terpelihara serta mematuhi syarat dan peraturan yang ditetapkan,” katanya. – UTUSAN ONLINE










