Pengecualian penuh duti hiburan perkukuh kelangsungan teater tempatan

Pengecualian penuh duti hiburan perkukuh kelangsungan teater tempatan

MOHAMMAD LETFEE AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Persatuan Teater Malaysia (PTM) menyambut baik pengumuman kerajaan menerusi Belanjawan 2027 berhubung pengecualian penuh duti hiburan bagi tiket pementasan teater tempatan di Wilayah Persekutuan mulai tahun 2027.

Persatuan Teater Malaysia (PTM) menyifatkan keputusan berkenaan sebagai perkembangan positif yang mampu mengurangkan beban kos pementasan, memperkukuh kelangsungan kumpulan teater serta membuka lebih banyak peluang kepada karya tempatan untuk dipersembahkan kepada masyarakat.

Timbalan Presidennya, Mohamad Letfee Ahmad berkata, di samping mengurangkan kos, langkah pengecualian ini juga merupakan pengiktirafan terhadap peranan teater sebagai medium pendidikan, pembinaan jati diri, pemeliharaan warisan budaya dan pengukuhan perpaduan masyarakat.

Memuatkan artikel berkaitan…

“PTM berharap penjimatan yang diperoleh dapat dimanfaatkan untuk meningkatkan mutu produksi, memperkukuh kebajikan dan bayaran tenaga pentas, “ ujarnya.

Selain itu, jika bersesuaian dengan struktur kos penerbitan, ia juga akan menawarkan harga tiket yang lebih berpatutan kepada penonton.

Dalam masa yang sama, PTM ingin menegaskan bahawa pelaksanaan dasar berkenaan perlu mempunyai garis panduan yang jelas, mudah dan inklusif supaya manfaatnya turut dinikmati oleh kumpulan teater bebas, penerbit kecil, penggiat baharu serta organisasi seni bukan berasaskan keuntungan.

PTM juga berharap pengecualian seumpama ini dapat dipertimbangkan oleh kerajaan-kerajaan negeri agar peluang pembangunan teater tempatan tidak hanya tertumpu di Wilayah Persekutuan, sebaliknya dapat diperluas ke seluruh negara.

PTM berpandangan bahawa pengecualian duti hiburan perlu menjadi sebahagian daripada usaha sokongan yang lebih menyeluruh, termasuk penyediaan geran produksi, pembangunan bakat, latihan profesional dan kemudahan ruang persembahan bagi membina ekosistem teater yang mampan.

Bagi PTM, pengecualian duti hiburan akan membuka ruang untuk teater tempatan terus hidup, berkembang dan mendekati masyarakat.

PTM berharap inisiatif ini menjadi pemangkin kepada kebangkitan industri teater tempatan yang lebih kukuh, inklusif dan berdaya saing, sekali gus memastikan seni persembahan terus mendapat tempat dalam pembangunan budaya dan industri kreatif negara. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini