Malaysia mungkin hantar jemaah haji tahun ini - Utusan Malaysia

Malaysia mungkin hantar jemaah haji tahun ini

ZULKIFLI Mohamad Al-Bakri melepaskan Misi Bantuan Program Musa’adah 2021 - Program Inspirasi Qaseh Kami Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) dan GOGOPASAR di pekarangan Kompleks Islam Putrajaya, hari ini. - UTUSAN/AMREE AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Bakal jemaah haji yang tidak dapat menunaikan ibadah tersebut tahun lalu mungkin berpeluang mengerjakan Rukun Islam kelima itu tahun ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri memberi bayangan itu namun enggan menjelaskan lanjut.

“Masalah ini (penghantaran jemaah haji) insya-Allah saya sendiri akan pergi ke sana untuk bincang terus dengan Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi dalam masa terdekat.

“Saya sendiri malahan memang bercita-cita dan bercadang untuk pergi ke sana bagi melihat dalam pelbagai isu terutama aspek (peraturan) umrah dan haji,” katanya ketika ditanya mengenai perkara berkenaan.

Terdahulu, beliau melepaskan Misi Bantuan Program Musa’adah 2021 – Program Inspirasi Qaseh Kami Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) dan GOGOPASAR di sini hari ini.

Yang hadir sama Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Datuk Abdul Aziz Jusoh; Pemangku Ketua Pengarah Yapeim, Parihah Hassan dan Ketua Pegawai Eksekutif GOGOPASAR, Lynn Alias.

Beliau mengulas laporan Utusan Online kelmarin bahawa Lembaga Tabung Haji mula mengadakan Kursus Asas Haji namun dibuat secara dalam talian mulai Sabtu ini.

Program 14 siri itu bagaimanapun hanya melibatkan 31,600 bakal jemaah yang sepatutnya menunaikan ibadah haji musim lalu, tetapi tidak dapat berbuat demikian susulan penutupan sempadan Arab Saudi.

Sebaliknya, negara itu hanya membenarkan sejumlah 10,000 warga tempatan dan asing menetap di Arab Saudi bagi mengerjakan haji dengan kawalan protokol kesihatan paling ketat.

Menurut Zulkifli, beliau akan membuat kenyataan dalam beberapa hari lagi selepas perbincangan selesai.

“Komen saya, beberapa hari lagi insya-Allah saya akan beri kenyataan yang tuntas kerana kita sekarang dalam proses mengadakan perbincangan dengan pihak Arab Saudi,” ujar Zulkifli.

Beliau dipercayai merujuk tindakan negara itu semalam melarang kemasukan jemaah umrah dari 20 negara kerana didakwa mengakibatkan pertambahan kes baharu wabak Covid-19.

Sekatan itu antaranya melibatkan warga Afrika Selatan, Argentina, Amerika Syarikat, Brazil, Britain, India, Indonesia, Itali, Jerman, Jepun, Lubnan, Mesir, Pakistan, Perancis dan Turki.

Kerajaan Arab Saudi bagaimanapun memberi isyarat awal kemungkinan musim haji kali ini dibuka kepada rakyat asing dengan syarat wajib menjalani suntikan vaksin virus korona.

Majlis Keselamatan Negara (MKN) setakat ini belum memutuskan untuk memberi kelonggaran pergerakan kepada umat Islam bagi menunaikan ibadah haji di Tanah Suci.

Sekiranya dibolehkan, kumpulan haji pertama dijangka berlepas dari tanah air pada 12 Jun ini sehingga penerbangan terakhir seminggu sebelum wukuf di Arafah pada 19 Julai kelak. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya