KWSP umum dividen tinggi - Utusan Malaysia

KWSP umum dividen tinggi

Kemudahan i-Sayang bertujuan meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ketika hampir semua sektor ekonomi merekodkan perolehan negatif, Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP) mengumumkan dividen 5.20 peratus bagi Simpanan Konvensional manakala 4.90 peratus buat Simpanan Syariah bagi tahun kewangan 2020.

Walaupun, dividen kali lebih rendah berbanding tahun 2019 iaitu 5.45 peratus kepada Simpanan Konvensional manakala 5.0 peratus buat Simpanan Syariah namun pengumuman melebihi lima peratus mengejutkan ahli-ahlinya dan penganalisis ekonomi.

Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Ahli Jawatankuasa Syariah di United Overseas Bank (UOB) Malaysia Berhad, Dr. Ahmad Zakirullah Mohamed Shaarani berpendapat, peratusan dividen merosot sudah dijangka susulan pertunjuk ekonomi yang terkesan dengan Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang masih berlangsung.

Menurutnya, beliau dan rakan-rakan sebidang dengannya tidak menyangka KWSP masih mampu memberikan dividen tinggi.

“Dengan setiap aspek ekonomi yang merekodkan nombor negatif serta keadaan belum menentu, agak mengejutkan apabila KWSP boleh memberikan Simpanan Konvensional setinggi 5.20 peratus dan 4.90 peratus bagi Simpanan Syariah,” kata beliau.

Selain itu, menurut beliau, pengumuman tersebut juga adalah satu perkembangan positif kerana di sebalik membenarkan ahlinya mengeluarkan wang caruman menerusi i-Sinar dan i-Lestari tetapi dividen diberi masih tinggi.

“Tindakan mengeluarkan wang KWSP sudah tentu menyebabkan aset agensi itu berkurangan. Bagaimanapun, pemberian dividen yang memuaskan itu juga dilihat dapat memberi kesan baik kepada pelaburan.

“Bergantung kepada ekonomi global, ini juga membantu ekonomi negara yang dijangka pulih sepenuhnya selewat-lewatnya tahun hadapan,” katanya.

Penganalisis ekonomi, Prof Dr. Barjoyai Bardai pula menganggap, dividen pada kadar 5.20 peratus adalah satu pencapaian besar buat KWSP pada tahun lalu jika dibandingkan kemelesetan ekonomi pada tahun 2008.

“Kadar 5.20 peratus ini jauh lebih tinggi daripada kadar yang diumumkan pada tahun 2008 hanya 4.50 peratus. Kadar ini juga adalah lebih empat kali ganda berbanding dengan kadar pulangan daripada akaun pelaburan di bank Islam dan bank konvensional,” katanya.

Barjoyai kemudian mencadangkan KWSP memberikan dividen untuk tempoh pelaburan sebelum pencarum membuat pengeluaran menerusi i-Sinar baru-baru ini.

“Penyimpan di KWSP yang telah mengeluarkan wang caruman bagi mengambil peluang kelonggaran diberikan kerajaan bagi menangani kesan Covid-19 tentunya kesal kerana kehilangan keuntungan ini,” kata beliau.

Selain itu, Barjoyai berkata, KWSP patut membenarkan ahli-ahlinya untuk mengkreditkan kembali wang yang dikeluarkan tetapi tidak digunakan kerana kadar pulangan bagi tahun 2021 dijangka lebih tinggi.

“Ini mengikut jangkaan pasaran saham yang diramal meningkat KLCI daripada 1,575 hari ini (semalam) kepada 1,850 pada akhir tahun ini, ” ujarnya lagi.

Sementara itu, Prof. Madya Dr. Abu Sofian Yaacob dari Putra Business School di Universiti Putra Malaysia (UPM) menyifatkan dividen KWSP kali ini bukan hanyadapat menggantikan wang dikeluarkan menerusi i-Sinar malah akan menarik lebih ramai untuk terus melabur dan menyimpan di KWSP.

“Saya anggarkan dividen KWSP sekitar 4.50 peratus tetapi apabila diumumkan, nampaknya lebih tinggi.

“Selepas ini dijangka lebih ramai mahu terus menyimpan dengan KWSP berbanding melabur dalam Amanah Saham Berhad (ASB) mahupun di Public Mutual,” katanya.

Pada hujung tahun lalu, Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB) mengumumkan pembayaran 5.00 sen seunit kepada pemegang unit Amanah Saham Bumiputera (ASB) bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020 iaitu membabitkan pengagihan pendapatan 4.25 sen seunit dan pengagihan ehsan 0.75 sen seunit bagi 30,000 unit pertama yang dipegang pemegang unit ASB.

Terdahulu, Pengerusi KWSP, Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir dalam satu kenyataan memaklumkan, KWSP berjaya melindungi simpanan persaraan ahlinya dengan baik selain memenuhi keperluan mendesak untuk mereka menangani cabaran semasa.

“Tindak balas pantas KWSP mengadaptasi strategi dan proses pelaburan berjaya memastikan agensi ini mampu mencapai prestasi optimum.

“Kami akan terus memanfaatkan kekuatan kira-kira 250 anggota pelabur profesional KWSP yang komited dan proaktif dalam menguruskan portfolio pelaburan. Kerjasama kukuh dan infrastruktur digital yang mantap juga telah melancarkan proses penyesuaian diri kami dengan norma kerja yang baharu,” kata beliau.

Sebagai rekod KWSP mempunyai 14. 5 juta ahli dengan 7.6 juta pencarum aktif. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN