Keputusan kes rasuah Isa Samad esok - Utusan Malaysia

Keputusan kes rasuah Isa Samad esok

MOHD. ISA ABDUL SAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini esok akan membuat keputusan sama ada bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad bersalah atau tidak atas sembilan pertuduhan menerima rasuah melebihi RM3 juta, tujuh tahun lalu.

Hakim yang akan membuat keputusan itu ialah Hakim Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali; individu sama yang menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak selepas didapati bersalah atas tuduhan membabitkan penyelewengan dana RM42 juta syarikat SRC International Sdn. Bhd., kira-kira enam bulan tujuh hari yang lalu.

Mohd. Isa, 72, didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada 14 Disember 2018 sebelum kes itu dipindahkan dan dibicarakan di Mahkamah Tinggi di sini bermula 8 Oktober tahun lalu.

Berdasarkan pertuduhan, bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu didakwa atas sembilan pertuduhan menerima suapan untuk dirinya berjumlah RM3,090,000 daripada Ahli Lembaga Pengarah Gegasan Abadi Properties Sdn. Bhd. (GAPSB), Ikhwan Zaidel menerusi bekas pegawai politik khas beliau, Muhammad Zahid Md. Arip, sebagai tanda terima kasih kerana membantu meluluskan pembelian hotel oleh Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FICSB) pada harga RM160 juta.

Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan di antara 21 Julai 2014 hingga 11 Disember 2015 di Tingkat 49, Menara Felda, Platinum Park, No. 11, Persiaran KLCC di sini.

Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama.

Sabit kesalahan, Mohd. Isa boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Mohd. Isa sebelum ini turut dituduh atas satu pertuduhan pecah amanah dengan meluluskan cadangan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suit di Kuching Sarawak dengan harga RM160 juta tanpa kelulusan Ahli Lembaga Pengarah Felda pada.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Tingkat 50 Menara Felda Platinum Park, No. 11 Persiaran KLCC pada 29 April 2014.

Bagaimanapun, pada 16 Jun 2020, Hakim Mohd. Nazlan melepaskan dan membebaskannya daripada pertuduhan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie bagi dakwaan itu.

Pihak pendakwaan yang diketuai Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz menutup kes mereka pada 14 Januari 2020 selepas memanggil memanggil 22 orang saksi.

Antaranya bekas Ketua Pengarah Felda Datuk Hanapi Suhada, bekas Ketua Pegawai Eksekutif FICSB Mohd Zaid Abdul Jalil dan Ahli Lembaga Pengarah Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd, Ikhwan Zaidel iaitu individu yang memberi rasuah tersebut.

Barisan pembelaan yang diketuai peguam bela Datuk Salehuddin Saidin menutup kes mereka pada 3 September 2020 selepas memanggil enam saksi termasuk bekas setiausaha Mohd. Isa, Zuraida Ariffin @ Shaari serta bekas pegawai khas beliau, Kamar Bashah Shariff.

Mohd. Isa menjadi saksi pembelaan yang pertama dan memberi keterangan bela diri secara bersumpah dari kandang saksi. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya