Kenaikan pangkat profesor di UMT ketat - NC - Utusan Malaysia

Kenaikan pangkat profesor di UMT ketat – NC

DR, NOR AIENI NOKHTAR |
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Prosedur kenaikan pangkat sebagai profesor dan profesor madya di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) bukan semata-mata dipengaruhi oleh penerbitan jurnal, sebaliknya perlu melalui pelbagai proses saringan ketat.

Naib Canselornya, Prof. Datuk Dr. Nor Aieni Mokhtar berkata, langkah itu bagi memastikan ahli akademik yang diperakukan kenaikan pangkat merupakan kalangan mereka yang terbukti pencapaian dalam bidang kesarjanaan masing-masing.

Katanya, kenaikan pangkat ke kedua-dua jawatan tersebut antara lain merangkumi aspek amanah pengajaran, penyeliaan, penyelidikan, penerbitan buku dan artikel jurnal terindeks, pemindahan ilmu, pembentangan ilmiah serta kepemimpinan akademik dan pengurusan.

“Permohonan dikemukakan ahli akademik akan melalui pelbagai proses saringan ketat yang memenuhi syarat kecemerlangan akademik dengan diperakui oleh Senat sebagai badan akademik tertinggi di samping mendapat kelulusan Lembaga Pengarah Universiti.

“Berdasarkan kriteria di atas, penerbitan bukanlah kriteria mutlak yang membolehkan seseorang pensyarah dipertimbangkan kenaikan pangkat sebagai profesor,” katanya dalam kenyataan di sini.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan kalangan ahli akademik menerbitkan jurnal menggunakan ‘jurnal pemangsa’ (predatory journals) sebagai jalan pintas mencapai penunjuk prestasi utama (KPI) masing-masing.

Jurnal pemangsa merupakan jurnal palsu yang menjanjikan penerbitan dengan meminta penulis membayar kos penerbitan dan perkhidmatan semakan rakan kesepakaran atau penyuntingan.

Pengerusi Pertubuhan Pembangunan Penyelidikan dan Dasar Pendidikan Tinggi (Pendapat), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datuk Dr. Norzaini Azman berkata, oleh kerana jurnal pemangsa berkualiti rendah dan tidak mengikut standard akademik yang tinggi untuk penerbitan, ia biasanya ditawarkan dengan kadar cepat atau dalam tempoh yang singkat.

Sementara itu, Nor Aieni berkata, ahli akademik perlu mengemukakan permohonan melalui dekan, pengarah institut atau pusat masing-masing terlebih dahulu dan jika gagal melepasi saringan dalaman maka, permohonan tersebut tidak
akan dipanjangkan kepada jawatankuasa penapis di peringkat universiti.

Katanya, mana-mana permohonan yang dibawa ke jawatankuasa penapis akan disaring dan dinilai oleh anggotanya, antaranya termasuk ahli Senat bertaraf profesor.

“Dari segi penerbitan, pihak jawatankuasa penapis akan mendapatkan pengesahan data penerbitan setiap calon melalui portal carian rasmi laman sesawang Scopus atau WOS dan pada peringkat ini, lazimnya mana-mana jurnal pemangsa akan dapat dikesan.

“Selepas saringan jawatankuasa penapis di peringkat universiti, permohonan calon akan dikemukakan kepada penilai luar yang terdiri daripada profesor tersohor yang mempunyai pencapaian H-Index dan berdasarkan garis panduan, calon perlu mendapat sokongan sekurang-kurangnya tiga penilai luar termasuk seorang dari luar negara,” katanya.

Menurut Nor Aieni, jika permohonan calon disokong oleh penilai luar, maka calon kemudian akan ditemubual jawatankuasa pemilih utama universiti yang turut dihadiri oleh wakil Senat dan Lembaga Pengarah Universiti sebelum dibawa untuk pertimbangan dan kelulusan akhir semua ahli lembaga pengarah.

“Permohonan hanya dikira berjaya setelah melepasi tapisan dan penilaian akhir di peringkat tersebut,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya