Kalau berani, cubalah tegur! - Utusan Malaysia

Kalau berani, cubalah tegur!

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“PERASAN tak, semakin tua, semakin kuat pula kita ini membebel,” kata seorang kawan.

Dia yang berusia akhir 40-an itu berkata kepada saya, semakin hari dia suka menegur apa yang dia rasa tidak betul secara berdepan dan sikap itu kian menjadi-jadi walaupun kepada orang yang dia tidak dikenali.

Cerita kawan saya itu lagi, baru-baru ini dia beratur membeli makanan di kawasan ‘food truck’. Dia menegur orang di sebelahnya kerana berdiri terlalu dekat dengannya. Jaga penjarakan, katanya.

Lelaki berkenaan, ceritanya, tidak semena-mena ‘naik angin’. Terus bercakap pasal politik pula lebih kurang begini katanya – “Inilah kalau tak buat Pilihan Raya Sabah, hari ini kita taklah nak makan pun kena beratur panjang jauh-jauh, kena makan di rumah”…(banyak lagi dia membebel, mungkin faktor usia juga) dan akhirnya dia menyebut, entah betul ke tidak angka kes harian Covid-19 itu banyak sampai 5,000! Entah-entah bohong, wayang semata-mata.

Memang banyak dakwaan bertebaran di sekeliling kita mengatakan bilangan kes ini hanya rekaan! Mulalah bercerita, kawan saya seorang jururawat berkata…., emak saudara saya seorang doktor berkata, sepupu sebelah ipar saya yang bekerja di hospital berkata…semua dengar cerita daripada entah siapa-siapa yang mengatakan bilangan kes itu cuma wayang.

Sudah-sudahlah, setiap kali ada isu besar, banyak spekulasi dan dakwaan yang main petik nama segala kawan dan saudara mara, bukan kenyataan sahih daripada tuan punya badan dan diri sendiri.

Dalam kes Covid-19, lihat sajalah sekeliling, ramai kawan sepejabat dan saudara mara sudah kena. Itu saja. Tak payah ambil pusing, siapa cakap apa. Yang penting jaga kesihatan diri dan keluarga.

Berbalik kepada cerita kawan saya itu, selepas mendengar panjang lebar bebelan lelaki tersebut yang lebih mahu mempertahankan perbuatannya melanggar prosedur operasi standard (SOP), kawan saya pun membuat pengakuan, dia bekas pesakit Covid-19. Kalau nak kena sangat langgarlah segala SOP.

Katanya lagi, kena Covid ni sakit tahu! Dia tak mahu ‘mendapat’ lagi kali kedua. Jadi, tolong jaga penjarakan.

Mendengar saja kata-kata kawan saya itu, dia dan beberapa orang di keliling menjarakkan diri dan terus diam.

Ceritanya di sini adalah, bolehkah orang kita menerima teguran dalam menjaga SOP? Saya rasa amalan menegur kesalahan sesama kita masih asing atau luar biasa. Sedangkan dalam keluarga atau kawan-kawan sendiri menegur pun, ramai yang tak boleh menerima dan ego tak tentu hala, inikan orang luar.

Cerita ini juga mengingatkan saya pada satu kejadian di kedai runcit semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang pertama pada Mac tahun lalu.

Saya cuma bertanyakan anak-anak siapa ini yang berkejar-kejaran dalam kedai tersebut. Bukankah budak-budak tak boleh keluar, hanya ketua keluarga? Ketika itu, datang seorang wanita menjeling tajam pada saya, emaknya mungkin dan bercakap jaga hal sendiri sudah!

Kalau saya ‘kaki cari pasal’ sudah tentu panjang cerita. Tetapi saya memilih untuk buat muka selamba dan berlalu, walau ramai mata yang memerhati.

Selepas PKP itu juga saya ada terlihat seorang pekerja restoran dimarahi pelanggan kerana menegur tidak boleh duduk ramai-ramai di meja yang sama.

Dan bila Majlis Keselamatan Negara (MKN) menghantar pesanan ringkas (SMS) meminta kita menegur sesiapa yang melanggar SOP baru-baru ini, saya hanya tersenyum sinis membacanya.

Bolehkah kita menegur secara baik dan diterima dengan baik juga? Sukar sebenarnya bila dalam kepala masing-masing memikirkan hanya diri sendiri saja betul, orang lain semuanya salah. Jadi mahu tegur tak? Jawapannya, hanya yang ada keberanian dan tahan maki saja, boleh tegur.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya