JERLUN: Seorang pesawah di Kampung Pida 7, Kodiang di sini mampu meraih pendapatan sehingga RM20,000 semusim dengan mengusahakan tanaman harumanis sejak sembilan tahun lalu.
Namun, Ahmad Mat Hassan, 67, berkata, pendapatannya dijangka mencecah sehingga RM80,000 tahun ini memandangkan tanaman harumanis seluas satu hektar yang diusahakan itu ‘menjadi.’
“Sebagai pesawah, saya cuma raih RM2,000 semusim tetapi pendapatan bertambah sejak ceburi tanaman harumanis. Tahun ini saya jangkakan ladang saya mampu mengeluarkan buah sehingga empat tan metrik berbanding dua hingga tiga tan metrik sebelum ini.
“Sudah empat kali saya tuai hasil dan meraih pendapatan lumayan. Saya jangkakan 94 pokok harumanis yang ditanam mengeluarkan sehingga 15,000 biji bagi musim ini,” katanya ketika ditemui di ladang harumanis miliknya di sini.
Ahmad adalah salah seorang daripada 128 pengusaha harumanis Kedah yang dijenamakan sebagai Harumanis D’Aman sejak tahun lepas.
Dia juga tidak menafikan permintaan ke atas buah tersebut meningkat memandangkan pengeluaran harumanis di Perlis terjejas ekoran faktor cuaca melampau sejak kebelakangan ini.
“Permintaan terlampau banyak sampai buah tidak cukup. Harumanis yang saya tanam adalah gred A+ kerana buahnya besar sehingga 350 gram sebiji. Saya menyeru pesawah agar menceburi penanaman harumanis ini yang menjanjikan pendapatan lumayan.
“Harumanis D’Aman ini kalau kita tengok sama sahaja malah ada yang lebih baik daripada harumanis Perlis. Cuma orang Kedah baru berjinak-jinak dalam bidang ini sedangkan di Perlis sudah lama,” katanya.
Seorang lagi pengusaha harumanis, Datuk Yusof Ismail berkata, pihaknya yakin Kedah mampu bersaing dengan Perlis termasuk mengeksport buah tersebut ke negara jiran dalam tempoh beberapa tahun lagi.
“Harumanis D’Aman ini berkualiti baik sebab tanaman di Kedah mempunyai kadar penyiraman air yang cukup kerana ada sawah berbanding Perlis. Kualiti harumanis Kedah sama dan ada yang lebih baik.
“Jadi, harumanis Kedah semakin mendapat permintaan sehingga tidak cukup, pasaran untuk dalam negara sahaja ketika ini. Namun, dalam tempoh beberapa tahun lagi kita mampu eksport harumanis ke luar negara,” katanya.
Katanya, penduduk Kedah terutama pesawah harus merebut peluang menceburi tanaman harumanis yang menjanjikan pendapatan lumayan setiap musim.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Harumanis Kedah, Othman Ismail berkata, pihaknya melakukan pelbagai kempen untuk menggalakkan penduduk terutama pesawah menanam harumanis.
“Di Kedah terdapat 128 pengusaha harumanis dengan keluasan ladang sehingga 110 hektar terutama di Kubang Pasu. Majoriti pengusaha ini adalah profesional, anak muda yang menganggur dan cuma segelintir pesawah,” katanya. – UTUSAN










