Ikut arahan atau berhenti - Utusan Malaysia

Ikut arahan atau berhenti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Gusar akan kedudukannya sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dalam 1Malaysia Development Berhad (1MDB) terjejas, Mohd. Hazem Abd. Rahman tidak pernah `melawan’ arahan yang diberikan kepadanya oleh ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low.

Ini kerana, menurut saksi pendakwaan ke-10 itu, budaya di 1MDB ketika itu ialah, `ikut arahan atau berhenti’.

Beliau berkata demikian ketika disoal balas oleh peguam bela, Wan Aizuddin Wan Mohammed dalam perbicaraan kes bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak,68, yang didakwa atas 25 tuduhan pengubahan wang haram dan salah guna kedudukan serta penyelewengan dana berjumlah RM2.3 bilion di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Wan Aizuddin: Tapi awak CEO, awak yang sepatutnya membuat segala keputusan.
Mohd. Hazem: Sebagai CEO, kalau awak tak buat apa yang diarahkan, awak boleh berhenti. Di 1MDB, ia adalah seperti itu. di 1MDB, Jho Low yang mengendalikan semuanya.

Wan Aizuddin: Tapi awak tidak perlu ikut sahaja arahan Jho Low, awak masih boleh suarakan kerisauan awak.
Mohd. Hazem: Saya ada suarakan kerisauan saya tetapi hanya melalui sistem pesanan Blackberry.

Wan Aizuddin: Tapi awak masih lagi menjadi CEO di 1MDB?
Mohd. Hazem: Mungkin sebab walaupun saya menyuarakan kerisauan, saya masih lagi mengikut arahan.

Tambahnya, sekiranya beliau menyuarakan kerisauan itu secara umum, ia akan kelihatan ia seolah-olah tidak sependapat dengan Najib.

Mohd. Hazem menyertai 1MDB pada 2013 sebagai Ketua Pegawai Operasi (COO) sebelum dilantik sebagai CEO syarikat itu bagi menggantikan bekas CEO 1MDB, Datuk Shahrol Azral yang telah dipindahkan ke Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu).

Pada 2015, saksi tersebut telah meletakkan jawatan sebagai CEO 1MDB dan beliau digantikan oleh Arul Kanda Kandasamy.

Menurut keterangannya sebelum ini, Mohd. Hazem memberitahu, beliau mula menyuarakan hasrat untuk meletakkan jawatan kerana merasakan bahawa 1MDB telah termasuk perangkap liabiliti korporat terbesar dalam sejarah.

Beliau turut menyatakan pada waktu beliau meletakkan jawatan, hutang yang ditanggung oleh 1MDB adalah terlalu banyak dan keupayaan syarikat terbabit untuk membayar balik hutang-hutang tersebut termasuk hutang yang dipinjam daripada Maybank sebanyak RM2.5 bilion untuk membeli saham Tanjong Power pada tahun 2012 adalah diragui.

Perbicaraan yang didengar oleh Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung esok. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya