Hanya mampu bertahan sampai Mac - Utusan Malaysia

Hanya mampu bertahan sampai Mac

Kerajaan mengumumkan bantuan khas RM500 kepada pemandu bas ekspres mengikut syarat ditetapkan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 dan larangan merentas negeri yang berkuat kuasa sejak 13 Ja­nuari lalu dan disambung lagi hingga 18 Februari memberi implikasi besar kepada sektor pelancongan dan pengangkutan.

Sekiranya perintah itu dilanjutkan lagi sehingga bulan depan, dijangka lebih 85 peratus syarikat berpotensi gulung tikar manakala selebihnya terpaksa mengecilkan operasi.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Pelancongan dan Pengembaraan Bumiputera Malaysia (Bumitra), Harun KC Ahmmu berkata, sebanyak 573 syarikat yang menjadi ahli persatuan itu kini banyak bergantung kepada simpanan sedia ada untuk membayar gaji pekerja serta meneruskan operasi perniagaan mereka.

“Ada pekerja yang kini terpaksa bekerja lapan hari sebulan dengan gaji minimum. Jika kita lihat kes semakin meningkat walaupun ada PKP.

“Tidak dinafikan kerajaan ada membantu dengan memberi subsidi upah. Namun subsidi upah hanya membantu 12 peratus daripada keseluruhan operasi. Ini bermakna kalau keadaan berlarutan kita pasti tidak boleh bertahan dan ak­hirnya terpaksa tutup.

Justeru, beliau mencadang­kan supaya kerajaan mengubah suai prosedur operasi standard (SOP) supaya industri pelancongan mampu terus bergerak dengan memperkenalkan gelembung perjalanan.

“Sebagai contoh, di satu-satu tempat hadkan pengunjung dan bagi kedatangan kumpulan pula perlu dibuat dalam jumlah kecil. Selain itu, pengunjung perlu membuat ujian saringan Co­vid-19 Rapid Antigen (RTK-Ag) sekiranya mereka ingin bercuti,” katanya di sini semalam.

Lima sektor dibenarkan beroperasi sebelum ini adalah pengilangan dan pembuatan, pembinaan, perkhidmatan, perdagangan dan pengedaran serta perladangan dan komoditi.

Dalam pada itu, Yang Dipertua Persatuan Pengusaha Bas Ekspres Melayu Semenanjung (Pembawa), Mohamad Kaharuddin Salleh berkata, kerajaan perlu membuka semula perjalanan rentas negeri selepas ini bagi memastikan sektor pengangkutan mampu bertahan.

“Rentas negeri ada kaitan dengan ekonomi. Jadi kerajaan perlu perkenalkan SOP baharu yang lebih ketat. Tambahan pula tiada ada kluster membabitkan bas ekspres dan penumpang juga majoritinya adalah orang tempatan serta faham untuk mengikut SOP yang ditetapkan.

“Sekarang ini jika boleh rentas negeri pun dengan surat kebenaran. Jadi hanya tinggal berapa sahaja penumpang? Kami boleh lumpuh kalau terus dibiarkan dalam jangka masa beberapa bulan lagi,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN