fbpx

Hadiah Timbalan Menteri Belia dan Sukan bakar semangat Adli

ADLI Ahmad yang terpilih menyertai latihan pusat Projek FAM-MSN mulai 9 Februari ini menerima hadiah sumbangan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Pasir Puteh, Kelantan, hari ini. - UTUSAN/TOREK SULONG

PASIR PUTEH: Remaja berusia 18 tahun, Adli Ahmad teruja dipilih menyertai latihan Projek Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) – Majlis Sukan Negara (MSN) mulai 9 Februari ini.

Keterujaan pelajar Tingkatan Lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Aman itu bertambah apabila dia menerima hadiah berupa pakaian sukan dan kasut bola daripada Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, hari ini.

Adli berkata, hadiah diterimanya membakar semangat untuk dia terus berusaha dengan lebih gigih bagi mencapai impian beraksi dalam skuad Harimau Muda sekali gus mengharumkan nama negara.

“Demi mencapai impian ini, saya bekerja keras sejak berusia 11 tahun termasuk gigih menghadiri latihan Program Pembangunan Bola Sepak Negara di Pusat Latihan Daerah (PLD).

“Saya bersyukur terpilih untuk latihan pusat Projek FAM-MSN. Usaha saya berlatih sejak usia kanak-kanak sebelum digilap oleh PLD kini mula menampakkan hasil,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, hadiah kiriman Wan Ahmad Fayhsal disampaikan oleh wakil beliau iaitu Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Pasir Puteh, Muhammad Syazwan Che Rahim kepada Adli di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Pasir Puteh.

Adli dalam pada itu berkata, supaya tidak ketinggalan mengikuti latihan pusat yang bakal diadakan di ibu negara, dia akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ).

“Berbekalkan ilmu akademik yang dipelajari walaupun kekangan pandemik Covid-19, saya yakin mampu menghadiahkan kejayaan dalam SPM kepada ibu tersayang, Hapisah Mohd Lazim, 55,” kata anak bongsu dari 12 adik beradik itu.

Pemain muda yang memiliki ketinggian 174 sentimer dengan berat badan 65.5 kilogram itu satu-satunya pelajar dari daerah ini yang terpilih mewakili skuad bola sepak bawah 19 FAM dalam Liga Perdana musim 2021. – UTUSAN ONLINE

BERITA BERKAITAN

Menarik di Kosmo!