PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan mendedahkan kanser adalah penyebab kematian utama di hospital swasta iaitu 33.19 peratus manakala keempat utama di hospital kerajaan membabitkan 12.18 peratus.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, ia berdasarkan rekod Health Facts terbitan Kementerian pada 2019 yang mana satu pertiga kematian kanser adalah dikaitkan dengan amalan berisiko.
Katanya, amalan terbabit ialah berat badan yang berlebihan, kurang pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran, kurang melakukan aktiviti fizikal, pengambilan tembakau atau merokok serta pengambilan alkohol.
“Malah pengambilan tembakau adalah faktor risiko paling penting untuk kejadian kanser dan menyumbang kepada 22 peratus kematian akibat penyakit itu.
“Jumlah kes kanser yang direkodkan pada 2012-2016 meningkat sebanyak 11 peratus berbanding tahun 2007-2011. Secara keseluruhan, tiga jenis kanser yang paling kerap berlaku adalah kanser payudara (19 peratus) diikuti kanser kolorektal atau usus besar (13.5 peratus) dan kanser paru-paru (9.8 peratus),” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena majlis pelancaran Webinar dan Hari Kanser Sedunia 2021 secara maya, hari ini.
Dr. Noor Hisham berkata, dalam kalangan lelaki, kanser kolorektal adalah paling kerap berlaku iaitu 16.9 peratus, paru-paru (14.9 peratus), prostat (8.1 peratus), limfoma (6.6 peratus) dan nasofarinks (6.5 peratus).
Dalam kalangan wanita pula, katanya, kanser payudara (33.9 peratus), kolorektal (10.7 peratus), pangkal rahim (6.2 peratus), ovari (5.6 peratus) dan paru-paru (5.6 peratus).
“Bagi peratusan keseluruhan kes kanser yang dikesan lewat iaitu tahap tiga dan empat meningkat dari 58.7 peratus pada 2001-2011 kepada 63.7 peratus pada 2012-2016 yang mana
situasi ini adalah membimbangkan dan perlu diberi perhatian sewajarnya.
“Berdasarkan kajian, 30 hingga 50 peratus penyakit boleh dicegah melalui gaya hidup sihat malah pengesanan awal dan rawatan segera mampu memberi peluang kepada pesakit untuk sembuh maka masyarakat perlu melakukan ujian saringan bagi mengelakkan kanser dikesan lewat,” katanya. – UTUSAN ONLINE










