Dua pemandu mesin padi kena tindakan - Utusan Malaysia

Dua pemandu mesin padi kena tindakan

JPJ Perlis mengambil tindakan terhadap dua pemandu mesin padi yang tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri ketika memandu mesin padi semasa operasi khas di Jalan Bongor Kudung, Kangar semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR : Dua pemandu mesin padi yang menggunakan jalan raya diambil tindakan di bawah Seksyen 114 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) kerana tidak mempunyai dokumen pengenalan diri ketika diperiksa semasa operasi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri di Jalan Bongor Kudung, di sini semalam.

Pengarahnya, Fatimah Mohamed Ali Piah berkata, selain itu, sebanyak sembilan buah mesin padi di sekitar kawasan Padang Besar dan Kangar turut diperiksa dalam operasi khas tersebut.

Katanya, operasi tersebut juga memintas dua buah jentera yang menggunakan jalan raya tanpa kebenaran.

“Hasil Pemeriksaan ke atas sembilan buah mesin itu, hanya sebuah sahaja berdaftar manakala lapan lagi merupakan jentera yang tidak didaftarkan di bawah Seksyen 7 APJ.

“Dua buah mesin padi yang menggunakan jalan raya akan diambil tindakan susulan di bawah Seksyen 114 APJ kerana pemandunya tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri,” katanya di sini hari ini.

Sementara itu, beliau berkata, lain-lain tindakan advokasi dan nasihat perundangan telah diberikan kepada semua pemandu mesin padi sepanjang operasi dijalankan.

“Kami meminta supaya pengusaha dan kelindan mesin padi bertangungjawab membersihkan jalan raya yang tercemar dengan lumpur sawah padi tersebut.

“Hal demikian penting agar tiada insiden yang tidak diingini berlaku akibat terlanggar bongkah tanah yang ditinggalkan di atas jalan raya itu,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN