PUTRAJAYA: Hanya gabungan ketiga-tiga parti Melayu iaitu UMNO, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas boleh menentukan kemenangan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) sekurang-kurangnya di 100 kerusi Parlimen.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, penganalisis politik, Prof. Dr. Hoo Ke Ping berkata, penggabungan itu mampu mengembalikan semula kuasa pemerintahan UMNO yang kali pertama tumbang selepas 60 tahun tetapi tidak lagi didominasi sepenuhnya UMNO dan Barisan Nasional (BN).
Bagaimanapun, kata beliau, ketiga-tiga parti perlu berunding untuk tidak berlaku pertandingan tiga penjuru sekurang-kurangnya di 90 hingga 100 kerusi itu, manakala 30 kerusi lain yang majoriti Melayu boleh bebas dibuka untuk semua.
Lebih penting, katanya, kepemimpinan UMNO perlu dirombak terlebih dahulu selain menghentikan sandiwara mengenai pakatan UMNO dan PKR serta DAP demi menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN).
“Perjanjian pengagihan kerusi dan mewujudkan pertandingan satu lawan satu akan memastikan ketiga-tiga parti Melayu ini memenangi jumlah minima 90 hingga 100 kerusi (sama seperti bilangan kerusi sekarang – 18 kerusi Pas, 38 kerusi UMNO dan 36 kerusi Bersatu.
“UMNO boleh mendapat minimum 40 kerusi, Pas 20 kerusi dan Bersatu sekitar 35 kerusi. Dengan keyakinan cukup terhadap kepimpinan baharu UMNO, nisbah tersebut boleh diterima kerana Tan Sri Muhyiddin Yassin telah menyelamatkan UMNO daripada dibatalkan pendaftarannya dahulu,” katanya di sini semalam.
Menurut beliau, secara mudahnya apabila tiga parti Melayu ini bersatu dalam PRU-15 dengan pengukuhan 100 kerusi itu ditambah pula kerusi di Sarawak dan Sabah selain kerusi MCA dan MIC, maka terdapat peluang cerah untuk mendekati bilangan 147 kerusi, iaitu bersamaan bilangan majoriti dua pertiga.
Katanya, kepemimpinan Muhyiddin dalam ‘susun atur’ ini akan memastikan beliau terus menjadi Perdana Menteri sementara pemimpin UMNO pula diberi jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) manakala Pas sebagai TPM kedua.
Mengulas lanjut, beliau yang juga Penasihat Ekonomi kepada Institut Strategik KSI berkata, pada PRU-15, Pakatan Harapan (PH) tidak akan dapat menarik undi pengundi Melayu apatah lagi apabila kebanyakan daripada pengundi baharu iaitu sekitar 75 peratus berumur 18 tahun ke atas adalah berbangsa Melayu.
Katanya, sekiranya ketiga-tiga parti itu bimbang tentang kadar pengangguran golongan belia, maka PRU-15 boleh sahaja dilangsungkan sebelum Julai.
Beliau menjelaskan, walaupun bilangan pengundi bukan Melayu akan mengundi parti lawan, ia tidak akan mencapai tahap 80 ke 90 peratus kerana pemerintahan Kerajaan PH terdahulu telah ‘mencederakan’ orang Cina dengan teruk sekali.
“PRU-15 akan menyaksikan tiga parti Melayu ini memerintah dan mendominasi melalui apa yang boleh disifatkan sebagai perpaduan dalam kepelbagaian.
“Walaupun 80 hingga 90 peratus orang-orang Cina akan menentang kerangka sedemikian, kemenangan dan dominasi Melayu tidak akan dapat dielakkan. Apa yang pastinya ialah orang-orang Cina tidak menyukai DAP dan PH sejak daripada Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai lagi.
“Selagi tidak ada lagi dominasi UMNO secara tunggal, orang Cina akan menerima dengan mudah perpaduan Melayu dalam kepelbagaian baharu,” katanya. – UTUSAN










