KUALA LUMPUR: Mungkin ramai sudah lupa atau mereka tidak tahu langsung mengenai empat kapsul masa ditanam bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Satu lagi kapsul masa ditanam Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tun Daim Zainudin. Kedua-dua tokoh berkenaan ketika itu masing-masing menyandang jawatan Menteri Pendidikan dan Menteri Kewangan.
Sebenarnya, kesemua kapsul yang ditanam di lima lokasi itu mempunyai jadual tahun-tahun untuk dibuka.
Bagaimanapun, perkara itu menjadi tanda tanya kepada penggemar sejarah bilakah kapsul-kapsul yang tersimpan di bawah tanah akan dibuka untuk pengetahuan umum. Kapsul-kapsul masa tersebut boleh diibaratkan seperti wasiat atau amanat pemimpin lalu kepada generasi masa kini.
Mengikut jadual, dua kapsul masa tersebut sepatutnya dibuka pada 2018. Kapsul tersebut ditanam di Hentian Rehat & Rawat (R&R) Rawang pada 8 September 1994.Tun Dr. Mahathir menanam kapsul tersebut di Lebuh Raya Utara Selatan arah utara.
Satu lagi kapsul masa yang dijadual dibuka pada tahun sama ialah yang ditanam bersebelahan mini teater di Menara KL. Kapsul tersebut ditanam pada 1 Oktober 1996.
Sementara itu, baki dua kapsul masa yang ditetapkan untuk dibuka pada 2020 namun penantian itu juga hampa.
Satu daripada kapsul itu ditanam di Mercu Tanda Putrajaya di Taman Putra Perdana yang kini menjadi monumen khas untuk Wilayah Persekutuan Putrajaya.
Kapsul keempat ditanam di Bursa Malaysia oleh Anwar dan Tun Daim.
Kapsul kelima dan terakhir ditanam di pusat beli-belah Sunway Putra Mall atau nama asalnya The Mall pada 12 Jun 1987.
Tun Mahathir menanam kapsul tersebut dan ia dijadualkan dibuka pada 2087.Satu sumber memaklumkan, semua kapsul masa tersebut sebelum ini dirancang untuk dibuka serentak pada awal 2020, namun perkara itu tidak berlaku.
Jelas sumber, nasib mengenai kapsul-kapsul tersebut kini dalam `tangan’ Pejabat Perdana Menteri yang boleh memberikan tarikh pembukaannya.
Bagaimanapun, persoalannya, bila kesemua kapsul ini akan dibuka atau ia akan terus dilupakan begitu sahaja?- UTUSAN










