MELAKA: Bersatu menghormati pendirian yang dibuat Majlis Tertinggi (MT) UMNO baru-baru ini yang didakwa sepakat menolak sebarang kerjasama dengan parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Naib Presidennya, Datuk Mohd. Rafiq Naizamohideen berkata, keputusan itu merupakan hak mutlak MT UMNO selaku kepemimpinan yang berhak menentukan hala tuju parti.
Beliau berkata, Bersatu kekal dengan pendirian mahu kerjasama diteruskan bersama UMNO dan Pas yang kini membentuk Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi pilihan raya umum kelak.
“Keputusan yang MT UMNO buat untuk menolak kerjasama dengan Bersatu menghadapi PRU-15 nanti tetap Bersatu hormati. Mungkin ini hala tuju UMNO.
“Di pihak kami pula, tidak boleh paksa UMNO untuk terima kita dan pakatan dalam PN. Kita sentiasa bersikap terbuka dengan apa juga keputusan yang dibuat oleh rakan dalam PN,” katanya ketika dihubungi semalam.
Mingguan Malaysia sebelum ini melaporkan, MT UMNO sepakat menolak kerjasama dengan Bersatu pada PRU-15.
Keputusan itu sekali gus menimbulkan tanda tanya sama ada UMNO mampu menang jika bertanding sendiri tanpa gabungan daripada parti Melayu lain seperti Bersatu pada pilihan raya tersebut.
Pas pula dikatakan meletakkan syarat supaya menerima Bersatu sekiranya UMNO ingin bergabung dengan parti Islam itu.
Mengulas lanjut, Mohd. Rafiq berkata, buat masa ini perkara yang perlu dilakukan oleh semua parti politik adalah membantu kerajaan dalam menangani penularan pandemik Covid-19 yang dilihat seperti tidak ada kesudahannya.
“Ini bukan masa yang sesuai berbicara mengenai pilihan raya umum kerana sepatutnya semua parti politik bantu kerajaan men kkgekang penularan pandemik Covid-19,” jelasnya. -UTUSAN










