ISU penduduk di berapa kawasan di Kedah yang sering dihantui gangguan bekalan air bersih bukan perkara baharu, sebaliknya berlarutan sejak puluhan tahun lalu. Namun krisis tersebut didakwa semakin kritikal dalam tempoh 10 tahun ini.
Walaupun kepemimpinan kerajaan negeri kerap bertukar ganti tetapi nasib penduduk yang terlibat dengan masalah bekalan air masih tidak berubah.
Antara kawasan yang serius mengalami gangguan bekalan air ialah Kuala Kedah, Pokok Sena, Jerlun, Gurun, Bedong, Tanjung Dawai, Singkir dan Merbok.
Kegagalan kerajaan negeri dan Syarikat Air Darul Aman (SADA) menguruskan bekalan air sangat mendukacitakan walaupun Kedah memiliki empat buah empangan iaitu Muda, Pedu, Ahning dan Beris.
Pada musim kemarau ini, krisis bekalan air dijangka bertambah buruk apabila lebih ramai pengguna bakal terjejas berikutan penyusutan paras air di beberapa loji rawatan air di negeri itu.
Walaupun Kedah mempunyai bekalan air yang banyak, kerajaan negeri didapati gagal menguruskannya dengan cekap bagi memastikan penduduk mendapat bekalan secukupnya.
Dianggarkan kira-kira 566,000 akaun pengguna SADA di seluruh Kedah. Lebih mengejutkan penduduk di Kampung Tepi Laut, Kuala Kedah mendakwa mereka tidak mendapat setitik air sejak lebih setahun lalu.
Penduduk di kampung itu lebih tertekan apabila terpaksa mengeluarkan perbelanjaan kira-kira RM1,000 sebulan untuk membeli air mineral bagi kegunaan harian dan membasuh pakaian di kedai dobi.
Mereka menanti-nantikan Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md. Nor dan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Bekalan Air dan Sumber Air serta Tenaga Kedah, Datuk Suraya Yaacob datang melihat sendiri penderitaan mereka yang tidak mendapat bekalan air dalam tempoh yang lama.
Sementara itu Setiausaha Kehormat Persatuan Pengguna Kedah (Cake), Mohd. Yusrizal Yusoff ketika bercakap kepada Utusan Malaysia berkata, pengguna di negeri ini sebenarnya bosan dengan pelbagai alasan diberikan kerajaan negeri dan SADA berkaitan krisis masalah bekalan air yang berlarutan itu.
Menurutnya, Cake banyak menerima aduan mengenai masalah gangguan bekalan air dan perkara tersebut telah dilaporkan kepada SADA dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) tetapi alasan yang sama diberikan iaitu paip bocor serta masalah teknikal.
Pihaknya turut menerima aduan daripada pengguna mengenai kualiti air apabila mereka mendakwa kerap menerima bekalan air yang keruh dan berbau busuk.
Pengguna sekarang tidak mahu pihak kerajaan sekadar berjanji ‘bulan dan bintang’, sebaliknya bertindak segera meningkatkan pengeluaran air bagi menyejukkan hati mereka yang panas. – UTUSAN ONLINE










