Tiada peruntukan untuk komputer riba - Utusan Malaysia

Tiada peruntukan untuk komputer riba

ZOLKIFLY MD LAZIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALIK PULAU: Tiada peruntukan membabitkan komputer riba atau kelengkapan gajet lain buat masa ini bagi pelajar yang mengikuti sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Sebaliknya, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teluk Bahang, Zolkifly Md Lazim berkata, bagi pelajar di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) berkenaan yang berdepan kesukaran mengikuti sesi PdPR kerana masalah gajet, boleh ke pusat khidmat beliau di Sungai Rusa dekat sini.

“Saya tak buat peruntukan ini (komputer riba dan gajet). Tetapi, pelajar boleh ke pusat khidmat di Sungai Rusa dan gunakan komputer yang ada di situ untuk sesi PdPR,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Mingguan Malaysia melaporkan mengenai kesukaran yang ditempuh oleh empat beradik yang tinggal di Sungai Rusa, di sini yang terpaksa berkongsi sebuah telefon bimbit bagi mengikuti sesi PdPR.

Empat beradik berkenaan, Nur Syuhada, 15 dan tiga adiknya Mohd Yusof, 13, Ibrahim, 10, Adam, lapan bergilir-gilir menggunakan telefon bimbit berkenaan setiap hari bagi menyelesaikan kerja sekolah.

Menurut Zolkifly, di pusat khidmat berkenaan beliau memang telah lama menyediakan seunit komputer untuk kegunaan orang awam secara percuma.

“Sesiapa sahaja yang tidak mempunyai kelengkapan sesuai untuk belajar boleh datang ke pejabat dan gunakan komputer ini.

“Pejabat saya dibuka setiap hari bekerja pada pukul 9.30 pagi hingga 5 petang,” katanya.

Tambah beliau, Kementerian Pendidikan juga akan menyediakan kemudahan TV Pendidikan untuk pelajar dalam tempoh terdekat supaya semua pelajar boleh mengikuti sesi PdPR.

“Kerajaan akan perkasakan TV Pendidikan, bakal ada tiga saluran disediakan supaya semua boleh belajar dan sama-sama ikuti sesi PdPR,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya