SPM bagi calon 2020 perlu diteruskan, elak tekanan kepada pelajar - Utusan Malaysia

SPM bagi calon 2020 perlu diteruskan, elak tekanan kepada pelajar

NORMALA SUDIRMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi calon tahun 2020 tidak seharusnya ditangguhkan kerana memberi tekanan kepada pelajar yang sepatutnya menduduki peperiksaan tersebut tahun lalu.

Presiden Persatuan Kebajikan Pendidik Ummah Malaysia (Pendidik), Normala Sudirman sebaliknya berkata, peperiksaan itu harus diteruskan dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Katanya, sebarang penangguhan hanya menjejaskan persiapan dibuat pelajar terlibat.

“Peperiksaan SPM untuk tahun ini tidak perlu dibatalkan sebaliknya diteruskan dengan langkah pencegahan, penguatkuasaan dan kewaspadaan yang ketat.

“Ini memandangkan calon SPM menunggu agak lama terutama yang tinggal di asrama atau di pusat pengajian tahfiz di seluruh negara atau yang mengambil peperiksaan sebagai calon persendirian.

“Kita perlu mengambil kira dari sudut emosi dan tekanan yang dilalui oleh pelajar, guru dan ibu bapa yang menunggu sejak tahun lalu bagi calon SPM tahun 2020,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas desakan beberapa pihak yang mahu peperiksaan SPM ditangguhkan lagi ekoran terdapat kebimbangan berhubung pandemik Covid-19 ketika ini setelah sesi persekolahan bagi pelajar yang menduduki peperiksaan awam tahun lalu disambung pada 20 Januari lalu.

Menurut Normala, penangguhan SPM bagi tahun 2020 bukan sahaja memberi kesan kepada sistem dan jadual persekolahan, tetapi takwim kemasukan pelajar ke institut pengajian tinggi (IPT).

Beliau turut mencadangkan agar kerajaan memikirkan kaedah terbaik berhubung pelaksanaan peperiksaan SPM bagi calon tahun 2021.

“Bagi calon peperiksaan SPM tahun 2021 pula, kerajaan perlu memikirkan kaedah terbaik secara holistik dengan mengambil kira pandangan tokoh akademik dan pakar kesihatan dalam melaksanakan mekanisme terbaik agar proses pembelajaran dapat diteruskan meskipun berdepan pandemik Covid-19.

“Mungkin penilaian lain bagi kemasukan ke universiti selain daripada tiket peperiksaan SPM boleh juga difikirkan Kementerian Pendidikan bagi memastikan proses pendidikan di negara ini tidak terganggu,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya