Sekat laman lucah, suburkan jiwa dengan agama - Utusan Malaysia

Sekat laman lucah, suburkan jiwa dengan agama

IDRIS YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Akses ke laman lucah dan perkongsian video tersebut menerusi telefon bimbit dilihat antara pendorong berlakunya jenayah sumbang mahram selain rogol.

Di samping itu, masalah akidah melibatkan iman dengan langsung tidak takut balasan Allah SWT menyebabkan golongan berkenaan tidak ragu-ragu melakukan dosa besar tersebut.

Seorang ulama, Idris Yaakob menggesa kerajaan memandang serius masalah itu dengan menyekat terus akses ke laman porno, selain memantau perkongsian video-video lucah di media sosial.

“Saya melihat orang ramai terlalu mudah melayari laman-laman lucah dan berkongsi pula video berkenaan,” kata Mudir Maahad Tahfiz Al- Bayan itu.

Untuk rekod, sehingga Ogos tahun lalu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) menyekat akses kepada 2,484 laman web pornografi.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan, bapa kandung adalah pelaku tertinggi kejadian sumbang mahram yang direkodkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam tempoh tiga tahun sejak 2018 dengan 225 kes.

Dalam tempoh sama, bapa tiri mencatatkan sebanyak 188 kes diikuti bapa saudara 159 kes dan abang kandung, 90 kes.

Menurut Idris, anak-anak perempuan juga perlu menjaga aurat dengan pakaian sopan walaupun berada di dalam rumah.

Sementara itu, Pengarah Kolej Kediaman dan Kesihatan Pelajar di Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza), Prof. Madya Dr. Mohd. Shafiee Hamzah berkata, tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sepatutnya digunakan untuk memperkukuh institusi keluarga berteraskan agama.

Katanya, langkah itu dapat menghindarkan ahli keluarga daripada perbuatan terkutuk seperti sumbang mahram, rogol dan lain-lain.

“Manfaatkan tempoh PKP dengan bersolat jemaah sesama keluarga, mengaji al-Quran, berpuasa sunat sekali gus berpeluang melihat amalan-amalan agama anak masing-masing,” katanya ketika dihubungi semalam.

Beliau berkata, aspek pengetahuan dan penghayatan agama dalam institusi kekeluargaan perlu terus disuburkan setiap masa bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini yang bertentangan dengan hukum Islam.

“Jika jiwa mana-mana bapa, bapa saudara, datuk, abang mahupun adik lelaki dipenuhi dengan keimanan insyaAllah, perbuatan haram tersebut dapat dijauhi,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN